malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, bekas CEO
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 11:12 PM
Dikemaskini: 3:44 PM
ADS

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Turut dinamakan ialah barisan pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.

Menurut kenyataan hari ini, TH berkata laporan pertama dibuat berhubung Program Yayasan Tabung Haji 2017 melibatkan dana lebih RM22 juta.

YTH ditubuhkan pada tahun 2016 yang antara lain untuk melaksanakan bantuan kemanusiaan dan menghulurkan sumbangan kepada golongan miskin serta mereka yang memerlukan.

"Para pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Ali dan Rozaida," kata lembaga itu.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina berhubung tindakan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikat TH - TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd.

"Laporan yang dibuat hari ini adalah siasatan dalaman pertama pengurusan baru yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap transaksi masa lalu," kata lembaga itu.

Ini adalah minggu kedua berturut-turut di mana Ismee - sekutu bekas perdana menteri Najib Razak - mendapat liputan negatif media.

Minggu lalu, Ismee bersama beberapa yang lain disaman oleh Felda Global Ventures Bhd bagi mendapatkan semula RM514 juta berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen