malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Roboh rumah di T'ganu: Bukan begitu caranya kata Raja Bahrin
Diterbitkan:  Nov 29, 2018 8:40 AM
Dikemaskini: 12:40 AM
ADS

Kerajaan Terengganu digesa menggunakan pendekatan 'rahmatan lil alamin' dalam pentadbirannya, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Mengulas isu perobohan sebuah rumah warisan berusia lebih 100 tahun di Kampung Tanjong, Kuala Terengganu baru-baru ini beliau berkata Islam menekankan keadilan dan kasih sayang berbanding hukuman bagi menunjukkan keindahan agama itu.

"Isu perobohan kasar dengan cara tidak sepatutnya terhadap sebuah rumah lama yang didiami Wan Mokhtar Wan Yusof itu menimbulkan berbagai reaksi orang ramai.

"Ada juga yang hanya melihat isu tersebut dari sudut undang-undang dunia semata-mata.

"Masalah pandangan sebegitu adalah realiti dunia hari ini - undang-undang dunia banyak lebih berpihak kepada mereka yang kaya dan berpengaruh.

"Mereka yang berada boleh menggunakan (khidmat) peguam terbaik dan juga mempunyai pengaruh dengan pihak berkuasa.

"Dengan itu pihak yang kurang berada akan kurang mendapat pembelaan dan pertimbangan berbanding golongan kaya," katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Tidak beradat, menghinakan

Terdahulu, pihak berkuasa negeri dilaporkan memberi pampasan kepada Wan Mokhtar dan keluarganya sebanyak RM20,000 bagi membolehkan mereka berpindah dari tapak berkenaan.

Bagaimanapun keluarga tesebut mendakwa tidak pernah bersetuju dengan pampasan itu dan mereka menuntut RM2 juta kepada kerajaan negeri ketika ia diperintah BN.

Raja Kamarul Bahrin berkata walaupun kerajaan negeri mempunyai hak dan kuasa meroboh bangunan tersebut, adakah itu caranya harus dilakukan.

Menurutnya, Islam menuntut pembelaan yang lebih saksama sama ada untuk orang miskin atau kaya, manakala budaya Melayu menuntut pendekatan yang lebih beradat.

"Cara rumah tradisi Melayu berusia sekitar seratus tahun tersebut ditolak dengan ganas dan hancur ke bumi amat tidak beradat dan menghinakan.

"Kenapa ia tidak dibuat dengan cara sistematik dan baik kerana rumah Terengganu memang direka bentuk untuk senang dibuka dan dipindah, ini tradisi kita.

"Apa yang berlaku ialah rumah itu ditolak secara ganas jatuh tersungkur hancur menyembah bumi seolah-olah tiada nilai dan tanpa maruah sebagai tradisi rumah Melayu sementara bangunan moden baru sekeliling berdiri gah menyaksikan penghinaan ini," katanya.

Lihat seni bina, jasa

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Islam menyuruh manusia bersikap berperikemanusiaan dan adat Melayu pula menyarankan pemeliharaan maruah warisan bangsa.

"Di manakah nilai-nilai ini di tengah tengah laungan Islam dan Melayu dimartabatkan?

"Ada pihak menyatakan bangunan tersebut kelihatan kurang menarik secara visualnya untuk diselamatkan, tetapi nilai rumah warisan bukan hanya dinilai melalui aspek kelihatan cantik atau tidak tetapi juga dari sudut seni bina, jasa dan sejarah yang ada," katanya.

Tambah Raja Kamarul Bahrin, beliau memang mengambil berat terhadap isu rumah itu sejak awal 2018 dan bukan hanya mengambil kesempatan ketika perkara ini dibangkitkan.

"Saya bersama beberapa orang warga Tanjung dan Ladang pernah membuat demonstrasi sempena Hari Warisan Sedunia di hadapan rumah tersebut.

"Saya terlibat dengan Badan Warisan Malaysia sejak 1983 sebagai salah seorang pengasas pertubuhan tersebut bersama Allahyarham Mubin Sheppard dan juga pengerusi Petronas pada masa itu.

"Mengikut Islam walaupun melaksanakan kuat kuasa undang-undang, kebijaksanaan dan sikap berperikemanusiaan adalah penting. Lagipun ini bukanlah melibatkan kes jenayah.

"Dalam kes jenayah seperti mencuri pun, kalau pesalah amat miskin, pertimbangan perikemanusiaan meringankan hukuman patut di beri. Ini bukan pun kes jenayah," katanya yang turut menerima kunjungan keluarga itu di parlimen, semalam.

Pada pertemuan itu, katanya, keluarga pemilik rumah itu turut menunjukkan dokumen sebagai bukti pemilikan tanah tersebut.

"Antara dokumennya termasuklah surat jual beli rumah bertarikh 11 Nov 1971, surat jual beli rumah bertarikh 6 Jun 1977, resit cukai taksiran dan pelan rumah tersebut oleh arkitek bertarikh Nov 1941

"Ini membuktikan tanah tersebut adalah tanah milik perseorangan dan bukan tanah kerajaan Terengganu," katannya.

Beliau juga menambah cukai taksiran terakhir yang diterima oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk hartanah itu baru dijelaskan iaitu pada 26 Nov 2017.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen