malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis gesa orang ramai di sekitar kuil Seafield bersurai
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 11:20 PM
Dikemaskini: 5:37 PM
ADS

Polis menggesa kira-kira 2,000 individu yang berkumpul di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya malam ini bersurai.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.

Jelas Mohamad Fuzi, yang dipetik Bernama, berdasarkan maklumat awal yang diterima, terdapat ada pihak cuba menghasut dan menimbulkan provokasi.

“Saya menegaskan sekali lagi kepada mereka yang berkumpul di sana untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan kerana kes ini masih dalam siasatan polis.

“Selain itu, kami dapat maklumat mereka ingin berkumpul di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk melakukan provokasi dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam ini.

Terdahulu, ribuan berkumpul berhampiran kuil Sri Maha Mariamman yang merupakan lokasi rusuhan yang terjadi awal pagi ini.

Kebanyakan yang hadir dalam keadaan tenang dapat dilihat sepanjang pinggir jalan, dengan trafik berhampiran bergerak perlahan.

Bagaimanapun beberapa individu dilihat membuat sekatan jalan dan mengganggu pengguna jalan raya.

Difahamkan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) turut berada di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, polis mengesahkan telah menahan 17 lelaki bagi membantu siasatan kejadian berkenaan, yang berlaku 2.30 pagi tadi yang menyebabkan kecederaan terhadap beberapa individu selain 18 kenderaan dan dua motosikal dirosakkan dan dibakar.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menjelaskan rusuhan berkenaan bukan melibatkan perbalahan antara kaum.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ia dipercayai berpunca daripada proses pengambilan tanah di kawasan tersebut yang dikatakan dibuat dengan “cara yang kurang menyenangkan” antara pemilik tanah dan pihak kuil.

 

Lihat Komen