malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN nafi polis tiba lambat di lokasi rusuhan kuil
ADS

Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman menafikan dakwaan yang mengatakan polis tiba lambat ke lokasi rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya, awal pagi tadi.

Menurut Azis, laporan pertama yang diterima oleh pihak polis adalah pada 2.40 pagi dan polis mengambil masa hanya kira-kira sepuluh minit sebelum tiba di tempat kejadian.

“Pada ketika polis sampai, saya difahamkan kereta polis dilempar dan dihalang, jadi mereka panggil pasukan sokongan. Masa itu suasana tidak berapa tegang.

“Apabila pasukan sokongan sampai, keadaan sudah kurang terkawal kerana sudah ramai orang, jadi mereka minta sokongan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang tiba sekitar jam tiga lebih. Isu yang mengatakan FRU sampai jam 6 itu tidak tepat,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen malam ini.

Azis bagaimanapun mengakui kesilapan berkenaan hantaran Facebook yang menyebut tentang rusuhan melibatkan “dua kumpulan bangsa India ”, yang telah pun diperbetulkan.

Terdahulu, dalam satu sidang media di parlimen hari ini, lima menteri dan seorang timbalan menteri menegur pihak polis yang dalam kenyataan awalnya menyifatkan pergaduhan di kuil itu sebagai melibatkan “dua kumpulan bangsa India ”.

Salah seorang menteri, iaitu menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy turut mendakwa polis Subang Jaya tiba lewat ke lokasi insiden kira-kira 4.15 pagi manakala pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba kira-kira jam 6 pagi.

Mengulas lanjut, Azis memuji kecekapan polis yang bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani isu tersebut.

“Polis telah melakukan kerja dengan baik, buktinya tiada kemalangan jiwa berlaku, keadaan pun terkawal sekarang.

“Saya ingin tegaskan, kalau polis tak lakukan kerja mereka, ada berlaku kematian semalam (awal pagi tadi).

“Saya harap semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan kaum, polis sudah lakukan tangkapan, biar polis jalankan siasatan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rusuhan itu adalah isu tuntutan tanah dan tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi mengesahkan pihaknya menahan 17 lelaki bagi membantu siasatan kejadian rusuhan tersebut.

Lihat Komen