malaysiakini logo
story-image
ADS

Seramai 17 lelaki tempatan ditahan, setakat ini, bagi membantu siasatan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata polis juga telah mengenal pasti kesemua individu terlibat termasuk dalang dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Polis turut merampas senjata yang digunakan dalam kejadian itu seperti dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua paip getah. Sebanyak 29 laporan polis telah diterima setakat ini berhubung kejadian itu.

“Segala aspek sedang disiasat dengan telus dan kita akan ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, malam ini.

Mohamad Fuzi menjelaskan daripada 17 yang ditahan itu, seramai enam daripada mereka mengalami kecederaan.

Beliau berkata seorang anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya turut cedera ketika cuba meleraikan kekecohan.

Beliau menegaskan insiden ganas di kuil berkenaan tiada kena-mengena dengan perbalahan perkauman sebaliknya menjurus kepada isu pemindahan kuil dari lokasi asal ke lokasi baharu di Putra Heights yang terletak kira-kira tiga kilometer.

Justeru, Mohamad Fuzi meminta semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi atau memberikan komen tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan.

Mengenai dakwaan pihak polis lewat tiba di tempat kejadian untuk membantu meleraikan kekecohan, beliau menyangkal dakwaan itu dan menegaskan bahawa anggota polis tiba di tempat kejadian 10 minit selepas menerima maklumat.

“Kita terima panggilan 2.40 pagi dan kita sampai di tempat kejadian 2.50 pagi dan Ketua Polis Daerah (Subang Jaya) sampai kira-kira 30 minit selepas menerima maklumat berhubung kekecohan itu.

“(Dakwaan) itu tidak tepat sama sekali, kita ada rekod, kita ada catatan diari dan urutan perkembangan. Harap jangan buat spekulasi tidak bertempat, mereka tidak tahu situasi sebenar kerana kita yang kawal keadaan,” katanya dengan tegas.

Mengenai dakwaan pemilik tapak kuil iaitu syarikat pemaju One City Development Sdn. Bhd., yang menafikan ia menjadi dalang kejadian itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya sedang menyiasat mengenainya dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

Jelas beliau, proses pemindahan kuil ini bukan kali pertama diadakan malah pada tahun ini sudah tiga kali ia dilakukan dan yang terakhir pada empat minggu lalu, usaha seumpamanya diadakan namun gagal kerana berlaku kekecohan.

Menurut Mohamad Fuzi, polis tidak campur tangan dan hanya berperanan untuk mengawal keselamatan.

“Sepatutnya pukul 6 pagi tadi FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) dan anggota dari IPD Serdang sepatutnya berkawal di kuil tersebut bagi pelaksanaan proses pemindahan ke tapak kuil baharu, tetapi kekecohan berlaku lebih awal,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa polis gagal mengambil tindakan menangani kekecohan itu.

Katanya, jika polis gagal mengambil tindakan ada kemungkinan kejadian lebih buruk berlaku termasuk kematian.

“Sehubungan itu, saya minta semua pihak bertanggungjawab tidak buat kenyataan yang boleh keruhkan keadaan.

“Ahli politik patut bantu redakan keadaan bukan timbul kekeruhan. Ini tidak akan membantu kita kawal keadaan, kita tidak mahu daripada (keadaan) terkawal malah menjadi buruk dan sebagainya.

“Apa pun kita sedang lakukan siasatan terperinci secepat mungkin,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen