malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh bayi 11 bulan bicara di mahkamah jenayah - Timb menteri
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 3:03 PM
Dikemaskini: 7:03 AM
ADS

PARLIMEN | Pendakwaan terhadap suami seorang pengasuh dalam kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal ​​​​​atau Zara tidak dijalankan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana ia dikategorikan sebagai kes bunuh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata lelaki itu telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Saya rasa buat masa ini saya tak nampak untuk bawa ke (mahkamah) jenayah kanak-kanak sebab walaupun melibatkan mangsanya adalah kanak-kanak, tetapi ia lebih pada jenayah pembunuhan yang sepatutnya dibawa ke mahkamah biasa,” kata Mohamed Hanipa dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu sekiranya pendakwaan suspek boleh dilanjutkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Muazara Ulfa meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Jumaat lepas di Mahkamah Majistret Kajang, Hazmi Majid, 36, didakwa telah membunuh dan menyebabkan kematian bayi perempuan itu di sebuah rumah di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, 7 Nov lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

- Bernama

Lihat Komen