malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan 5 individu termasuk pegawai kanan Imigresen
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu iaitu seorang pegawai kanan imigresen bergelar Datuk, tiga pegawai Imigresen dan seorang seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah di Johor Bahru hari ini.

Majistret Mahkamah Johor Bahru, Azureen Sahirah Saufee Afandi telah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 November.

Semalam, SPRM telah menahan pegawai kanan lelaki berusia 44 tahun itu di Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Johor pada pukul 10 pagi manakala tiga lagi pegawai Imigresen termasuk seorang wanita ditahan antara pukul 3.25 petang sehingga 3.45 petang di Pejabat SPRM Johor selepas mereka hadir memberi keterangan.

Sementara itu, seorang lagi suspek yang merupakan ahli perniagaan berusia 50 tahun pula ditahan di pejabat syarikatnya di sekitar Johor Bahru pada pukul 10.25 pagi.

Menurut sumber, pegawai kanan yang bergelar Datuk itu disyaki menerima rsauah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

SPRM temui buku akaun di S'pura

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Simi Abd Ghani ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

SPRM turut melakukan penggeledahan di rumah pegawai kanan tersebut dan menjumpai wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM91,000.

Turut ditemui ialah buku akaun bank di Singapura atas nama suspek bernilai RM 1.8 juta.

Katanya, penahanan ini adalah maklumat dan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Lihat Komen