malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rosmah mohon kes dipindah ke mahkamah tinggi
ADS

Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor memfailkan permohonan bagi memindahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah, memberitahu pemberita bahawa permohonan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

"Permohonan itu ditetapkan untuk pendengaran pada hari Khamis (29 Dis) di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali," katanya selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Ain Mustapa.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azhar turut hadir.

"Pihak pendakwaan telah memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan untuk memindahkan kes itu tetapi mereka mahu membalas afidavit kami," kata Geethan.

Seorang lagi peguam K Kumaraendran yang juga hadir hari ini berkata mereka memfailkan permohonan itu dengan alasan ia melibatkan perkara undang-undang dan Mahkamah Tinggi adalah tempat terbaik untuk memutuskan isu itu.

Rosmah ditahan dan menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram pada 4 Okt.

Beliau menghadapi 12 pertuduhan kerana memasukkan RM7.1 juta ke akaun peribadinya dari tahun 2013 hingga 2017, dan lima lagi pertuduhan kerana tidak mengisytiharkan deposit dalam penyata cukai pendapatannya.

Semua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen 4 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak lima kali jumlah wang yang terlibat atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, bagi kesemua sembilan pertuduhan serta pertuduhan ke-13, kertas pertuduhan menyatakan bahawa Rosmah boleh didenda tidak lebih daripada RM5 juta, atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Lihat Komen