malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ulama PAS ramal Anwar ditimpa 'hina lebih dahsyat'
Diterbitkan:  Nov 24, 2018 9:43 AM
Dikemaskini: 1:45 AM
ADS

Seorang pemimpin kanan PAS memberi amaran kepada Anwar Ibrahim bahawa presiden PKR itu mungkin berdepan "hinaan lebih dahsyat" selepas kali pertama berlaku kira-kira 20 tahun lalu.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata seseorang yang mengkhianati rakan selepas dia diselamatkan tentu akan dihina sekali lagi.

"Ingat, kehinaan kali kedua akan lebih dahsyat daripada kehinaan pertama," katanya.

Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang turut menjelaskkan Allah sebelum ini memberikan ruang kepada Anwar untuk berfikir dan mengenali mana satu sahabat dan mana pula musuh.

Bagaimanapun kata Mokhtar, Anwar gagall mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.

"Allah lepaskan DS (datuk seri) seketika agar DS tahu bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada teman yang pernah menolongmu pada saat DS kelelahan.

"Namun secarik sinar mentari yang memancar telah melalaikan DS sehingga DS lupa gelap malam yang pernah DS lalui," katanya melalui hantaran di media sosial.

Tak terasa pun

Mokhtar berkata demikian sebagai reaksinya terhadap kenyataan Anwar tentang sikap ahli politik dan cendekiawan kerana membiarkan skandal 1MDB berlaku.

"Bukan saja pemimpin politik (tapi) sarjana, penjawat awam bukan sekadar membisu, tapi sanggup bersekongkol untuk mempertahankan kedurjanaan yang menimpa bangsa, rakyat dan negara.

"Berlakunya kebobrokan, kemusnahan sistem, rompakan begitu besar bukan semata-mata kerana nafsu serakah beberapa pemimpin politik, tetapi kerana golongan sarjana yang membisu, yang sanggup jadi perkakasan murahan atas nama kaum atau agama.

"Serban makin besar, janggut makin panjang, degree mungkin berjela tapi tak ada hati nurani dan etika," katanya Universiti Malaya pada 23 Nov. 

Skandal 1MDB menjadi antara isu utama yang mencorakkan politik negara sejak beberapa tahun lalu.

Untuk rekod PAS pernah mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi firma pelaburan terbabit pada 7 Ogos tahun lalu dan berpuas hati dengan pelan rasionalisasi dilakukannya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata partinya berharap isu seumpama itu perlu dipantau parlimen.

Gambar fail

"Maknanya, Kementerian Kewangan dan menteri perlu memberi laporan kepada parlimen supaya anggota parlimen dapat mengikuti setiap perkembangan dan tidak timbul masalah baru," katanya. 

PAS menjadi antara parti politik paling awal menyatakan sokongan kepada Anwar ketika Dr Mahathir Mohamad memecatnya pada 1998 dulu.

Bagaimanapun ketika itu PAS dipimpin Allahyarham Fadzil Noor.

Mokhtar menambah PAS berlapang dada dengan hinaan dan sindiran Anwar, malah membiarkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu berbuat sesuka hatinya.

Kata Mokhtar beliau yakin sikap sombong dan angkuh pasti tidak akan berakhir dengan kebaikan dan kemuliaan.

"Syeikh... kami tak terasa apa pun sindiran itu bahkan penghinaan sekali pun. Cuma kami terkilan kerana DS tidak pernah cuba untuk berubah, sehingga kami berasa kasihan terhadap DS.

"DS boleh baca dan faham pelbagai tulisan buku, namun DS gagal memahami bahasa takdir.

"Jangan DS ingat kami lemah semangat dan sakit dengan serangan-serangan itu.

"Kami sudah sangat masak dengan pelbagai serangan dan pengkhianatan.

"Kami sudah rasa manisnya perjuangan ini. Apakah DS sudah merasai manisnya perjuangan yang DS pilih?" katanya.

Lihat Komen