malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lepas setahun SPRM akan 'lihat' aset menteri, YB
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan meneliti harta dan kekayaan anggota kabinet dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) setahun selepas mereka membuat pengisytiharan harta jika mendapati berlaku peningkatan mendadak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata buat masa ini jumlah harta mereka yang diisytiharkan tidak menjadi isu kepada agensi terbabit.

Shamsun juga berkata, jumlah harta semasa pemimpin PH tersebut bukanlah satu isu buat masa ini.

Apa yang lebih penting, katanya, ialah jika kekayaan tersebut menampakkan peningkatan mendadak dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Perkara paling penting ialah ahli politik terbabit telus, pada tahun pertama berapa gaji dan harta yang mereka ada.

"Kita tengok selepas setahun, itu sebenarnya yang lebih penting.

"Ada berapa (harta mereka) sekarang ini tiada masalah. Kita tak bolehlah nak kira dulu punya hal.

"Kita tengok sekarang ni dengan selepas setahun (nanti), ada tak perubahan mendadak? Selepas itu kita akan tanya," katanya kepada Malaysiakini.

Bukan tanggungjawab SPRM

Terdahulu Shamsun Baharin dihubungi mengenai maklumat mengenai aset dimiliki anggota kabinet serta wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang dipaparkan pada laman sesawang SPRM sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun maklumat itu dianggap sesetengah pihak sebagai tidak memadai kerana bersifat umum, iaitu aset dimiliki serta pendapatan bulanan, tanpa dinyatakan pecahan lain.

Sesetengah daripada mereka pula - setakat petang hari ini (23 Nov) - hanya mengisytiharkan gaji yang diterima tanpa mendedahkan aset masing-masing.

Shamsun Baharin

Mereka termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew dan P Waythamoorthy, Menteri Luar Saifuddin Abdullah serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi.

Shamsun Baharin berkata SPRM hanya menyediakan platform untuk memaparkan pengisytiharan harta pemimpin PH kerana ketika ini tiada undang-undang atau peruntukan tertentu mengenai pengisytiharan harta.

Pada masa sama, beliau berkata butiran aset seseorang menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat itu tidak akan dipaparkan sekiranya mereka hanya menyerahkan pengisytiharan kepada Pusat Governans, Intergiti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

Katanya hal itu kerana SPRM hanya akan mendapat maklumat tersebut jika GIACC menyerahkan salinan butiran berkenaan kepada mereka.

"Ada timbalan menteri tanya SPRM kenapa tak paparkan butiran asetnya sedangkan dia sudah hantar (maklumat tersebut) lama.

"Dalam kes itu, dia hantar ke GIACC. Jadi itu bukan tanggungjawab SPRM untuk mendapatkan butiran berkenaan daripada GIACC," katanya.

Lihat Komen