Biarpun kerajaan sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), himpunan pada 8 Dis ini tetap akan diteruskan, kata penganjurnya.
Bagaimanapun menurut Gerakan Pembela Ummah (Ummah) himpunan tersebut bukan lagi berbentuk bantahan sebaliknya ditukar menjadi majlis kesyukuran.
Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya, juga berkata pihaknya yakin kehadiran orang ramai tetap tinggi kerana ia merupakan program bagi meraikan kemenangan rakyat menyekat Icerd.
"Kami akan meneruskan himpunan tersebut sebagai perhimpunan kesyukuran kerana suara rakyat berjaya (menghalang) Icerd apabila kerajaan membuat keputusan untuk tidak merafitasikannya," katanya kepada Malaysiakini sebentar tadi.
Menurut Aminuddin lokasi himpunan itu kekal di Dataran Merdeka.
Bagaimanapun bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata lebih baik penganjur tidak meneruskan himpunan berkenaan.
Anggota parlimen Rembau itu juga berkata kerajaan sudah menyatakan secara rasmi untuk tidak menerima konvensyen berkenaan.
"Ini masa untuk kurangkan (kehangatan) ‘suhu’ politik negara. Lebih baik tidak diteruskan lagi," ciapnya di Twitter.
Seribu siswa dijangka turun
Sebelum itu pada sebelah petang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan keputusan kerajaan menolak ratifikasi Icerd.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu Putrajaya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan itu pejabat perdana menteri berkata hal-hal berkaitan hak semua kaum di dalam negara ini memang dilindungi oleh perlembagaan.
Ummah merancang untuk mengadakan perhimpunan bantah Icerd secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 8 Disember nanti yang menjangkakan kehadiran sekitar 700,000 peserta.
Malah, Ummah juga sudah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan itu.
Sementara itu, PAS menyambut baik dan mengalu-alukan keputusan kerajaan PH untuk tidak meratifikasi Icerd.
Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, rancangan asal Himpunan Perdana Rakyat Tolak Icerd yang dijadualkan itu akan tetap diteruskan.
"Rancangan tersebut akan bertukar format kepada himpunan kejayaan dan kesyukuran rakyat menolak Icerd yang akan diisi dengan solat hajat dan ucapan daripada para pimpinan," jelas Tuan Ibrahim yang dipetik harakahdaily.
Presiden Inspirasi Varsiti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ariff Muazzam, pula menyatakan kesediannya untuk turun bersama mahasiswa ke perhimpunan itu nanti.
Kata Ariff kumpulannya dijangka akan mengerahkan kira-kira 1,000 mahasiswa dari UKM untuk turun menyertai perhimpunan itu nanti.