malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia tidak akan terima Icerd
Diterbitkan:  Nov 23, 2018 3:09 PM
Dikemaskini: 7:36 AM
ADS

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (Icerd), kata Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu Putrajaya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan itu PMO berkata hal-hal berkaitan hak semua kaum di dalam negara ini memang dilindungi oleh perlembagaan.

"Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini," katanya.

PAS dan Umno sebelum ini menyatakan bahawa mereka akan mengadakan himpunan membantah Icerd yang dianggap mengancam hak dan kedudukan orang Melayu, Islam dan bumiputera.

Justeru tarikh 8 Dis dipilih untuk penyokong parti terbabit turun mengadakan bantahan di Kuala Lumpur. Mereka menganggarkan sekurang-kurangnya ratusan ribu orang akan hadir.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula mendakwa Icerd itu adalah agenda jahat Freemason yang bertujuan mahu merosakkan agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun beliau tidak menghuraikan lebih lanjut dakwaan berkenaan.

Freemason ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang sering dikaitkan dengan pelbagai teori konspirasi di seluruh dunia.

Abdul Hadi juga berkata penerimaan Icerd itu seumpama menebuk dinding rumah sendiri bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes membiak tanpa menyedari ia boleh mengancam nyawa.

“Ini bukan sekadar menyelamatkan rumah yang kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara,” katanya.

Lihat Komen