malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

GLOBAL | "Habis gelap terbitlah terang." Ungkapan Srikandi Indonesia, Raden Adjeng Kartini itu tepat bagi mengambarkan semangat warga Palu yang ingin membangun semula kota berkenaan selepas hampir dua bulan dilanda gempa dan tsunami.

Bencana yang menerjang bandar itu pada 28 September lepas dilaporkan mengorbankan sekurang- kurangnya 2,000 penduduk, manakala lebih 7,000 rumah rosak teruk.

Tidak terus berduka dengan apa yang telah berlaku, mangsa bencana dilihat telah kembali mengorak langkah baru untuk membangunkan semula kota yang terkenal dengan julukan sebagai Bandar Mutiara itu.

Tinjauan Bernama mendapati slogan ‘Palu Bangkit’ dapat dilihat di setiap pelusuk kota itu, sama ada di papan tanda mahupun coretan di atas sisa bangunan yang ranap.

Semangat itu dizahirkan apabila warga di kota mutiara itu dilihat telah memulakan aktiviti harian mereka seperti sediakala.

Seorang nelayan, Andik Mokhtar, 32, berkata dia mengakui masih trauma dengan apa yang terjadi, namun demi kelangsungan hidup dia tetap turun ke laut.

"Keadaan pesisir Pantai Talise ini berubah sekali. Tak sama seperti dulu... kadang- kadang saya berasa risau dan takut ombak tsunami itu datang tapi demi mencari rezeki saya gagahkan juga.

Bangkit ubah nasib

"Bantuan barangan asas memang ada diberi sama ada oleh kerajaan mahupun negara asing, tetapi kalau tak ada duit... bagaimana saya nak beli keperluan lain seperti petrol," katanya ketika ditemui Bernama di Palu, pada Rabu.

Menurut seorang pelajar Universitas Tadulako, Latifah Endang Wulandari, 23, masyarakat tempatan telah mula melakukan rutin harian seawal 10 hari selepas kejadian itu.

"Memang bencana ini meninggalkan kesan yang mendalam... tetapi kalau kami hanya mengharapkan bantuan masyarakat dunia untuk hulurkan bantuan, kami akan menjadi bangsa yang pemalas.

"Kami tidak mahu dilabel sebegitu oleh orang luar... jadi sebab itu kami harus bangkit mengubah nasib kami," katanya ketika ditemui di pusat membeli belah Matahari di Palu.

Bagaimapun Latifah berkata, masyarakat Palu tetap berterima kasih dan terhutang budi dengan sumbangan yang diterima daripada pelbagai negara termasuk Malaysia.

Pusat membeli belah Matahari merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu kerana lokasinya berhampiran persisir Pantai Talise.

- Bernama

Lihat Komen