malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peguam negara kekal pendakwa raya buat masa ini
Diterbitkan:  Nov 21, 2018 9:35 PM
Dikemaskini: 1:35 PM
ADS

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya dan peguam negara terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

Jelas Dr Mahathir, ini demikian kerana ia melibatkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

"Waktu ini kita belum mempunyai jumlah yang cukup dua pertiga dalam Dewan Rakyat untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan, sebab itu perkara ini ditangguhkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, pemisahan fungsi peguam negara dan pendakwa raya merupakan salah satu janji yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, menurut laporan yang memetik kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin sebelum ini, pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selain semakan semula undang-undang berkaitan kuasa pendakwa raya dan peguam negara yang diperuntukkan menurut Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Dr Mahathir dalam pada itu berkata cadangan menambah baik dasar penglibatan politik dalam kalangan penjawat awam turut ditangguhkan sementara waktu berikutan kajian terperinci mengenainya perlu dibuat .

"Kita masih belum dapat menentukan apakah ada pegawai yang boleh dibenar terlibat dalam politik," katanya.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata pegawai yang dilantik oleh menteri kabinet perlu terlibat dengan politik kerana mereka mengikut menteri mereka berhubung dengan masyarakat.

Pegawai-pegawai lain juga sejak dahulu lagi ada terlibat dalam politik seperti pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), katanya.

Dr Mahathir berkata penglibatan penjawat awam dalam politik akan menjejas ketelusan pentadbiran negara kerana mereka sudah tentu terikat dengan parti yang disertai dan akan mengambil tindakan yang memihak (bias) berkenaan apa sahaja yang diputuskan oleh mereka.

Dalam pemerintahan kerajaan terdahulu, katanya ramai penjawat awam terlibat dengan politik termasuk berkempen dan memakai baju parti politik.

"Kita kena lihat di tahap mana mereka harus dihalang. Mereka yang tidak membuat keputusan serius mungkin boleh dibenarkan terlibat dalam politik tetapi kita belum membuat keputusan muktamad tentang itu,” kata Dr Mahathir.

Lihat Komen