Pengiklanan

    Sektor awam belum capai sasaran ambil pekerja OKU

    (Dikemaskini )

    Jumlah pekerja dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang diambil bekerja dalam sektor awam masih terlalu rendah iaitu hanya 0.29 peratus daripada keseluruhan kira-kira 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata jumlah itu kurang daripada peratusan ditetapkan iaitu sebanyak satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam.

    Beliau berkata perkara itu disebabkan masalah di pihak agensi dan jabatan untuk mencari padanan kesesuaian pekerjaan dengan tahap kecacatan yang dialami oleh OKU.

    “Mungkin bagi jawatan perkeranian, kewangan ataupun IT agak sesuai dan mudah untuk mereka, tetapi sekiranya di bahagian penguatkuasaan agak sukar kerana jawatan itu perlukan pergerakan dan ada kecatatan yang menyulitkan mereka untuk bergerak sudah tentu agak sukar jabatan mahu ambil bekerja,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu peratusan terkini OKU yang diambil bekerja dalam sektor awam.

    Mengulas lanjut, Mahfuz berkata di peringkat kementerian, hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mencapai atau melebihi satu peratus penggajian OKU iaitu pada tahap 1.59 peratus.

    “Ini kerana kementerian ini menjaga OKU, sudah tentu mereka lebih mengambil berat dan mudah untuk melihat di mana keperluan di kementerian itu yang bersesuaian dengan kecacatan OKU dan keperluan pekerjaan itu sendiri,” katanya.

    Mahfuz berkata Kementerian Sumber Manusia sendiri mencatatkan 0.68 peratus, dengan tahun ini sahaja telah menggaji 51 OKU bagi pelbagai jawatan termasuk di kedudukan tinggi seperti bahagian perundangan.

    Justeru, beliau berharap semua kementerian dapat mematuhi pekeliling yang dikeluarkan bagi memastikan golongan OKU berpeluang mendapat pekerjaan dalam sektor awam.

    Dalam pada itu, Mahfuz berkata melalui Geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU, seramai 54 OKU berjaya dibantu untuk membangunkan perniagaan masing-masing dari Januari sehingga September lepas.

    Katanya OKU berkenaan turut menggajikan 37 OKU lain.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih