malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
NGO tawar maklumat untuk siasatan semula kes Scorpene
ADS

NGO hak asasi manusia yang memfailkan semakan kehakiman di mahkamah pada 2009 mengenai urus niaga kapal selam Scorpene bersedia membantu SPRM dalam siasatan terbaru suruhanjaya itu terhadap kes berkenaan, kata bekas pengarah eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel.

Gabriel, yang kini menggerakkan NGO antirasuah dan kronisme (C4), memberitahu Malaysiakini pasukan Suaram tersebut gembira mendengar SPRM telah membuka semula kes itu, dengan bekas perdana menteri Najib Razak akan dipanggil untuk disoal-siasat pada hari Isnin ini.

"Sepanjang masa, kerajaan Malaysia, tentu saja di bawah Najib, telah menutup kes itu, mereka tidak mahu membuka (siasatan).

"SPRM juga tidak melakukan apa-apa pada masa itu. Kami gembira kerana kes berkenaan telah dibuka semula, kerana kami sangat yakin banyak perlakuan rasuah telah berlaku," kata Gabriel, yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah Perancis pada masa itu.

Gabriel mengulas suruhanjaya pencegahan rasuah akan membuka semula penyiasatannya terhadap pembelian dua kapal selam Scorpene pada 2002.

Perkembangan pendakwaan di Perancis

Beliau menjelaskan pasukan itu telah berhubung dengan pihak pendakwaan Perancis, yang telah mendakwa lima orang dalam kes itu setakat ini, termasuk Abdul Razak Baginda, bekas penganalisis politik dan sekutu dekat Najib.

"Kami menawarkan bantuan dan kerjasama kami kepada SPRM kerana banyak maklumat (telah dibentangkan) di mahkamah Perancis. Kami sangat gembira untuk berkongsi dengan mereka semua maklumat yang kami ada.

"Kerana mereka (pendakwa Perancis) menyiasat kes itu, mereka telah menuduh empat orang dan juga Razak Baginda," katanya kepada Malaysiakini.

Suaram telah membuat aduan kepada pihak berkuasa di Perancis pada bulan November 2009, selanjutnya pihak pendakwaan negara itu membuka siasatan pada 2010.

Gabriel menyambut baik langkah SPRM membuka semula kes itu kerana terdapat dakwaan bayaran rasuah bagi pembelian dua kapal selam dari Perancis itu.

Sementara itu, sumber memberitahu beberapa individu juga akan dipanggil untuk membantu siasatan SPRM, termasuklah Razak Baginda.

Lihat Komen