malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib nafi arah Umno 'pancing' MP PH malam 9 Mei
ADS

Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau tidak terlibat dalam usaha menarik anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk gabungan dengan Umno untuk membentuk kerajaan, pada malam 9 Mei lalu.

"Tiada arahan yang dibuat daripada Umno untuk pancing wakil rakyat PH.

"Tiada (arahan) daripada saya pada malam itu. Kalau ada daripada pihak lain, saya tak tahu," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa ada usaha untuk menarik anggota parlimen Melayu dan Islam dalam PH sebaik selepas PRU ke-14.

"Ada ketakutan bahawa gabungan kami tidak akan menghormati kedudukan Islam seperti kerajaan sebelumnya.

"Maka ada cadangan jika semua (MP) Muslim bersama-sama - pembangkang iaitu Umno dan PAS hampir kesemuanya Muslim - mereka boleh menarik anggota parlimen Muslim lain (daripada PH), mendapat majoriti dan membentuk kerajaan Melayu-Muslim, tetapi mereka dinasihatkan agar tidak berbuat demikian," kata Mahathir kepada Mekong Review bulan lalu.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak tahu tentang dakwaan yang disebut Mahathir.

"Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan perdana menteri. Saya bersama Najib pada malam itu selepas keputusan parlimen Rembau diumumkan. Saya ada di kediaman Najib.

"Tiada usaha langsung daripada Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Tengku Adnan Tengku Mansor dan saya (yang berada di kediaman Najib) untuk beli anggota parlimen (untuk sertai kami)," katanya.

Beliau berkata Najib juga jelas menyatakan BN perlu menerima keputusan PRU ke-14 dan akan mengumumkannya pada keesokan hari serta menyerahkan pelantikan perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Khairy bagaimanapun enggan membuat spekulasi ketika ditanya sama ada kenyataan Mahathir itu satu fitnah terhadap BN.

"Saya tak pasti apa maklumat yang beliau ada. Saya hanya boleh katakan apa yang saya lihat dan dengar kerana saya bersama Najib pada malam itu. Tentang orang lain yang tiada di rumah Najib yang (mungkin) membuat usaha itu, saya tak pasti," katanya.

Katanya, sebarang usaha untuk menarik wakil rakyat PH, jika ada, pastinya datang daripada peringkat tertinggi.

"Sedangkan saya bersama pengerusi dan timbalan pengerusi BN ketika itu, jelas tiada usaha untuk beli MP atau rancangan untuk timbulkan rusuhan," katanya lagi.

Lihat Komen