malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jangan degil, Anwar dah kata Streram paling sesuai'
ADS

Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajendran menggesa pemimpin PKR supaya tidak mempertikaikan keputusan presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan cadangan pencalonan semula Dr S Streram untuk pilihan raya kecil (PRK) Rantau.

G Rajendran berkata, terdapat pihak dalam parti sendiri cuba mempertikaikan keputusan itu.

"Mereka ini sangat degil sehingga masih nak mencadangkan nama-nama lain, sedangkan Datuk Seri (Anwar Ibrahim) sudah pun menyatakan Streram calon yang sesuai untuk diturunkan di Rantau.

"Mereka ini juga sengaja membuat pelbagai propaganda di media sosial, kononnya kerusi Rantau adalah kerusi Melayu, kerusi untuk wanita, dan macam-macam lagi.

“Saya sebagai ahli akar umbi PKR ingin menjelaskan bahawa kerusi Rantau adalah bukan milik Melayu, Cina mahupun India sebaliknya milik Pakatan Harapan," katanya kepada Malaysiakini.

"Sebarang keputusan oleh pucuk pimpinan parti perlu dihormati. Janganlah nak tunjuk 'kepakaran' anda di PRK Rantau," tambah beliau lagi.

Terdahulu, Anwar menyatakan Streram yang juga merupakan naib ketua bahagian Rembau merupakan calon sesuai bertanding di PRK Rantau selepas beliau dinafikan hak bertanding di DUN Rantau pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Berucap di Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam pada Ahad yang lalu, Anwar turut menegaskan partinya juga perlu mengambil kira faktor kawasan tersebut mempunyai ramai pengundi dalam kalangan masyarakat India.

Untuk rekod, Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November memerintahkan bahawa kerusi DUN Rantau sebagai kosong dan kemenangan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan pada PRU14 lalu adalah tidak sah.

Menurut hakim, Azimah Omar, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Mahkamah turut memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta.

Nama Rafizi Ramli turut diangkat sebagai bakal calon Pakatan Harapan di PRK. Namun, beliau menafikan akan bertanding dan turut mendakwa nama beliau sengaja dicadangkan oleh kem Azmin Ali.

Naib Presiden baharu PKR, Zuraida Kamaruddin mencadangkan untuk menurunkan calon wanita di kerusi Rantau.

Sementara itu, Rajendran turut menyatakan bahawa pengundi India bakal akan menentukan kemenangan calon ada PRK Rantau.

"Pengundi India yang merangkumi 27 peratus daripada jumlah 20,472 undi tidak boleh dipandang ringan. Seperti kata Presiden PKR, Dr Streram calon paling sesuai dan juga berhak bertanding di Rantau," jelas Rajendran lagi.

Kerusi Rantau merupakan kubu kuat Umno turut merangkumi 53 peratus pengundi Melayu, 19 peratus Cina dan lain-lain merupakan satu peratus.

Lihat Komen