malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Siasatan Scorpene: Najib sudah dipanggil, Razak mungkin menyusul
ADS

EKSKLUSIF | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap pembelian dua kapal selam Scorpene yang dibuat ketika Najib Razak menjadi menteri pertahanan.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa ia adalah sebab Najib dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi tadi.

"Kes itu telah dibuka semula," kata seorang pegawai tinggi SPRM yang enggan dinamakan.

Sumber memberitahu pegawai sedang menyiasat kes tersebut yang antaranya membabitkan dakwaan habuan diberikan bagi pembelian kapal selam Perancis itu pada 2012.

Beberapa individu lain juga mungkin akan dipanggil untuk membantu siasatan, katanya lagi.

Menurut seorang sumber, ia termasuklah bekas penasihat Najib, Razak Baginda.

Dua kapal selam itu dinamakan semula sebagai KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. KD Tunku Abdul Rahman tiba di Malaysia pada September 2009, disusuli KD Tun Razak pada Julai 2010.

Pada mulanya media melaporkan Najib tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi tadi, dipercayai berhubung kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.

Model Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, turut terkait dengan urus niaga itu.

Bagaimanapun, menurut dokumen yang muncul pada 2013, termasuk kontrak bertarikh 5 Jun 2002 yang ditandatangani kerajaan Malaysia dengan syarikat Perancis DCN International S.A., pembekal Sepanyol Izaar Construcciones Navales dan Perimekar Sdn Bhd, telah menafikan tanggapan itu.

Abdul Razak, yang pernah mengaku menjalinkan hubungan dengan Altantuya, dibebaskan mahkamah daripada tuduhan subahat terhadap pembunuhannya.

Najib pula berulang kali menafikan terlibat dengan kes itu.

Pada Mei 2018, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan urus niaga Scorpene.

Beliau berkata ia ekoran dakwaan lain mengenai kes tersebut.

"Ia termasuk penyerahan beg berisi wang tunai, ditambah dengan perbelanjaan di Paris serta pembunuhan Altantuya Shaariibuu," katanya lagi.

Bekas anggota polis unit tindakan khas (UTK) Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar didapati bersalah membunuh Altantuya dan dijatuhkan hukuman mati.

[Baca berita asal]

Lihat Komen