malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuduhan biadab terhadap raja, Lim akan lapor polis
ADS

Lim Guan Eng berkata laporan polis akan dibuat terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berhubung tuduhan DAP bersikap biadab terhadap Raja-raja Melayu kerana enggan menerima darjah kebesaran.

Menafikan dakwaan itu, setiausaha agung DAP itu berkata prinsip dalam perkara itu telah diputar-belit sebagai satu tindakan yang bersifat antiraja dan anti-Melayu.

"Saya akan minta laporan polis dibuat terhadap Razman kerana menuduh saya sebagai anti-Melayu dan antiraja kerana menasihatkan anak-anak buah supaya jangan berkejar-kejar untuk dapatkan (pangkat) Datuk.

"Tetapi ini pula diputar belit sebagai tindakan antiraja dan anti-Melayu. (Tuduhan) ini tidak wujud langsung...Ini bukan saja fitnah tetapi membakar sentimen perkauman.

"Saya akan minta tindakan diambil dan kaji dari segi perundangan dan jenayah," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Razman membangkitkan perkara itu dalam ucapannya ketika Himpunan Perpaduan Ummah Sabtu lalu.


BacaPAS: DAP biadab tak mahu pingat kebesaran


"Kenyataan setiausaha agung DAP mengarahkan pimpinannya tidak menerima sebarang pengiktirafan atau bintang kehormatan (dari istana), apa maknanya?

"Mereka tidak menghormati raja-raja Melayu! Betul atau tak betul? Biadab atau tak biadab? Apa yang kita nak hukumkan kepada mereka?" katanya yang juga ADUN Gunung Semanggol.

Razman

Untuk rekod pada Oktober lalu Lim berkata pemimpin parti itu perlu mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding mengejar pingat dan darjah kebesaran.

Menjelaskan perkara itu, Lim berkata pemimpin DAP sememangnya tidak menggalakkan pemimpinnya menerima darjah kebesaran, terutama jika baru saja memegang jawatan.

“Saya hanya sebut pemimpin parti, janganlah dalam masa singkat tak sampai enam bulan dah dapat anugerah atau minta anugerah Datuk contohnya dekat Melaka.

"Janganlah berkejar-kejar untuk dapat gelaran Datuk kerana bila dipilih oleh rakyat keutamaan harus diberikan untuk perkhidmatan kepada rakyat bukan berkejar-kejar untuk Datuk."

Beliau sekali lagi membangkitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Ghafar Baba yang hanya menerima darjah kebesaran selepas tidak lagi berada dalam kerajaan.

"Beliau hanya mahu dikenali sebagai encik Ghafar Baba. Adakah itu pun dianggap tindakan antiraja atau anti-Melayu?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen