malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kompleks mahkamah Shah Alam terima ancaman bom
ADS

Kompleks Mahkamah Shah Alam dikosongkan pagi ini susulan ancaman bom.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata, mereka menerima panggilan telefon berkenaan perkara itu pada pukul 9.34 pagi.

Beliau berkata, panggilan tersebut daripada pengarah kompleks yang memaklumkan terdapat ancaman bom di situ.

"Susulan itu, kita menghantar lapan anggota bomba daripada balai bomba Shah alam. Mereka menjalankan prosedur pengosongan dan menunggu polis (melakukan pemeriksaan)," katanya kepada Malaysiakini.

Ketua polis Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata polis mengerah Skuad Bom dan Unit K9 ke kompleks mahkamah sebelum mengumumkan kawasan berkenaan selamat.

Katanya, polis menyiasat kes berkenaan sebagai ancaman jenayah dan kini sedang cuba mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuat ancaman berkenaan.

"Polis menerima panggilan kecemasan daripada pengarah Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung ancaman bom yang diterima daripada kakitangan mahkamah pagi ini.

"Ancaman itu dibuat lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan berkata bom berkenaan diletakkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Susulan itu, polis tiba ke lokasi dan mengarahkan pengsongan. Skuad Bom dan Unit K9 membuat pemeriksaan namun tidak menemui bom atau objek berbahaya di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Baharudi, bangunan berkenaan diiktiraf selamat pukul 12.45 tengah hari dan semua pegawai mahkamah dibenarkan kembali ke premis berkenaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Lihat Komen