malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Itu video 10 tahun lalu ketika BN tak bela masyarakat India'
Diterbitkan:  Nov 18, 2018 10:44 PM
Dikemaskini: 2:44 PM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata klip video yang digunakan untuk menuduhnya merosakkan nama Malaysia adalah rakaman 10 tahun lalu yang kini mempunyai konteks berbeza.

Waythamoorthy dalam klip video berkenaan mengkritik apa yang menurutnya diskriminasi terhadap golongan minoriti, terutamanya maysrakat India di Malaysia.

Katanya, klip video berkenaan merupakan wawancara dengan TV Belanda yang dibuat selepas himpunan Hindraf pada Nov 2007 sebagai gesaan agar nasib masyarakat India di Malaysia diberi perhatian.

"Himpunan bantahan yang aman itu bertukar kecoh selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menyembur air kimia kepada peserta.

"Beberapa peserta didakwa dengan tuduhan cuba membunuh hanya kerana salah seorang anggota polis berdarah sedangkan ratusan peserta cedera parah.

"Saya sendiri dipenjara dan diseksa. Peguam dari Hindraf ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pasport antarabangsa saya dibatalkan oleh kerajaan Malaysia ketika saya berada di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva untuk memberi penerangan berhubung nasib masyarakat India," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Waythamoorthy, semua itu berlaku ketika kuil-kuil Hindu digusur, pemaksaan penukaran agama, dan masyarakat India diusir dari rumah tradisi mereka di kawasan ladang.

Tambahnya BN sendiri akhirnya mengakui perkara itu ketika bertemu beliau pada 2013.

"Kerajaan BN berjumpa saya pada 2013, mengakui kesilapan mereka dan berjanji kepada saya dan masyarakat India yang seterusnya menyebabkan saya menyertai persefahaman untuk bekerjasama dengan kerajaan ketika itu bagi menangani isu masyarakat India.

"Kerajaan Umno dan semua rakyat Malaysia tahu apa yang saya buat selama lima tahun diasingkan di UK namun mereka melantik saya menjadi timbalan menteri pada 2013 kerana mereka tahu mereka membuat kesilapan apabila tidak menangani masalah yang dihadapi masyarakat India," katanya.

Waythamoorthy meletakkan jawatan setahun selepas menyatakan kekecewaan kerana tidak mampu menggesa perubahan dalam kerajaan BN bagi membantu masyarakat India.

Beliau yang menerajui gerakan Hindraf menyokong Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau kemudian dilantik menjadi menteri selepas PH menamatkan 61 tahun pemerintahan BN pada PRU 9 Mei lalu.

Klip video berkenaan muncul semula ketika terdapat gesaan untuk mendesak Waythamoorthy meletakkan jawatan sebagai menteri.

Gesaan itu termasuklah petisyen yang setakat ini ditandatangani 16,000 peserta.

[Baca berita asal]

Lihat Komen