malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemandu teksi digalak ambil manfaat sistem e-hailing
Diterbitkan:  Nov 18, 2018 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM
ADS

Kementerian Pengangkutan menggalakkan pemandu teksi untuk mengaplikasikan sistem e-hailing dalam perkhidmatan agar mereka mendapat manfaat daripada sistem itu.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata pengaplikasian sistem e-hailing akan membolehkan pemandu teksi mendapat penumpang daripada dua punca sekaligus, iaitu secara terus dari jalanan dan juga melalui tempahan dalam talian.

“Dengan sistem e-hailing, mereka ada dua punca pelanggan. Satu ialah street hailing, di mana mereka mengambil terus dari jalan atau stesen teksi. Satu lagi, mereka juga boleh mengambil pelanggan secara dalam talian” katanya.

Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas sesi Taklimat Agensi Kerajaan dan majlis berkenalan bersama Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Temiang di Seremban Klana Resort, Seremban.

Menurut Loke lagi, kementeriannya akan melakukan pelbagai program bagi merealisasikan tujuan itu dan membantu pemandu teksi melakukan penghijrahan yang menguntungkan mereka itu.

“Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan program-program untuk membantu pemandu teksi, untuk berhijrah ke sistem yang membolehkan mereka ada dua punca (penumpang).

“Inilah agenda yang akan kita teruskan di peringkat kementerian setelah penubuhan agensi baru nanti, iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang akan menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tahun depan," katanya.

Loke sebelum ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan mengharamkan perkhidmatan syarikat e-hailing seperti yang dituntut oleh pemandu teksi.

Suara tidak puas hati pemandu teksi banyak dilaporkan media apabila mereka menggesa kerajaan menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti Grab kerana dikatakan menyebabkan persaingan yang tidak adil kepada mereka.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 21 Okt lalu memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu pemandu teksi berdepan dengan persaingan daripada syarikat e-hailing tersebut.

“Saya akan usaha lagi, saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

Selain itu, Loke turut mengalu-alukan usaha mana-mana kerajaan negeri menubuhkan tabung bagi membantu golongan pemadu teksi.

“Memang kita (kementerian) sentiasa mencari formula dan pendekatan untuk membantu semua golongan, dan pemandu teksi sudah tentunya merupakan stakeholders dalam kementerian pengangkutan,” katanya lagi. 

Lihat Komen