malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin: Saya jadi timbalan presiden bukan percuma
ADS

KONGRES PKR | Mohamed Azmin Ali berkata ini bukan kali pertama beliau dicabar sebagai timbalan presiden PKR.

Mengimbas kembali pemilihan-pemilihan sebelum ini, beliau berkata sering berdepan cabaran itu dengan tenang dan ia antara punca beliau kekal mempertahankan kedudukan nombor dua itu.

"Saya di sini bukan percuma, daripada dulu saya perlu lawan. Mula-mula Zaid Ibrahim cabar saya, selepas itu Khalid Ibrahim," katanya di Kongres PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Kali ini, Azmin berjenaka yang beliau bukan dicabar Rafizi, tetapi bekas anggota parlimen Pandan itu hanya "menawarkan khidmat kepada parti".

"Tak ada masalah, saya tenang saja. Anwar pesan 'Azmin, tenang'. Saya kata 'tenang macam mana, Datuk Seri? Aku kena serang kiri kanan'.

"Orang yang tenang InsyaAllah akan berjaya selama-lamanya," katanya lagi.

Azmin juga menceritakan kembali bagaimana beliau cuba mencabar Syed Husin Ali bagi jawatan timbalan presiden lebih sedekad lalu, tetapi tidak meneruskannya selepas dinasihati Anwar.

"Anwar kata 'Azmin, jangan lawan Syed Husin Ali, dia orang lama, dia cikgu saya.' Saya dengar dan akur dengan nasihat Anwar sebab saya setia kepadanya, dan hormat Syed Husin Ali. Saya pun tarik diri.

"Kalaulah saya boleh tarik diri...," katanya yang mengalihkan pandangan dan senyum ke arah Rafizi. Ketika itu, layar di dewan fokus ke arah pencabarnya itu.

Menteri hal ehwal ekonomi itu kemudian menggesa anggota PKR mencontohi sikap tenangnya ketika diserang, walaupun menambah kemudian bahawa ia amalan biasa dalam demokrasi.

"Jadi kalau kami boleh bertenang, berdakap dan bersalam, ayuh anggota rapatkan saf kita, pertahan perpaduan dan sokong Anwar sebagai presiden bagi menjamin masa depan negara," katanya lagi.

Selepas pemilihan parti yang berjalan selama sebulan - dengan pelbagai kontroversi dan persaingan sengit antara Azmin dan Rafizi - kedua-duanya dalam ucapan hari ini menggesa para anggota untuk kembali bersama bawah kepimpinan Anwar sebagai presiden.

 

Lihat Komen