malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Demi Anwar, Rafizi tak mahu pemilihan PKR berlarutan
ADS

KONGRES PKR | Rafizi Ramli berkata beliau memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan pemilihan PKR kerana ingin melindungi Anwar Ibrahim - selaku bakal presiden parti itu - daripada kritikan.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan (pemilihan). Selepas kongres kita perlulah menumpu sepenuh perhatian untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan.

"Pemilihan berpanjangan melangkaui kongres hari ini akan menyebabkan Anwar (menjadi sasaran) serangan. Kerana akan ada suara yang mengatakan kegagalan pemilihan (berjalan) lancar bermakna kegagalan Anwar," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Rafizi dalam satu kenyataan mengaku kalah kepada Azmin dan tidak akan membuat rayuan untuk pemilihan semula, menjelaskan ia demi kebaikan parti.


Baca: Rafizi: Saya mengaku kalah untuk kepentingan parti

Rafizi yang memberi saingan sengit kepada Mohamed Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden menggesa pemimpin dan perwakilan yang tidak puas hati dengan keputusan pemilihan untuk meletakkan kepercayaan kepada Anwar dalam memutuskan tindakan susulan.

Selepas menjadi presiden, katanya, Anwar akan mengambil tindakan wajar untuk menyiasat insiden yang berlaku sepanjang pemilihan.

"Ia perlu diuruskan melalui mekanisme dalaman parti agar tidak membuka ruang kepada orang luar untuk menuduh dan melemahkan parti.

"Saya yakin Anwar sebagai presiden selepas ini akan berupaya memastikan jika ada perkara yang perlu diselesaikan berkaitan pemilihan, ia akan ditangani dengan baik," katanya lagi.

Lihat Komen