Untuk kali pertama secara terbuka Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara jelas mempelawa PAS untuk bersama-sama dengan mereka dalam gerakan politiknya.
Bertempat di pekan Kampung Gajah Ahmad Zahid berkata Umno mengakui mereka tersilap kerana bermusuhan dengan PAS selama ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu bagaimanapun menyalahkan seorang "atok" atas permusuhan itu.
"Selama 61 tahun Umno memerintah, 22 tahun adalah di bawah kepimpinan beliau.
"Dia ajar kami membenci PAS, dia ajar kami membenci DAP tapi sekarang mereka sedang bercium mulut sesama sendiri," katanya yang jelas merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad.
Namun Ahmad Zahid segera mahu melakukan 'pembetulan'. Katanya kesilapan itu tetap membawa hikmah.
Ketepi perbezaan atas nama Islam, Melayu
"Ya sheikh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, insya-Allah Umno di bawah kepimpinan saya, kita bercantumlah.
"Kita bercantum, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera," katanya disambut tepukan dan takbir orang ramai.
Ahmad Zahid berkata demikian pada suatu majlis ceramah anjuran dua parti itu di Pasir Salak, malam ini.
Bagaimanapun Abdul Hadi yang mengambil giliran berucap selepas Ahmad Zahid tidak mengulas langsung mengenai pelawaan Ahmad Zahid itu.
Sebaliknya presiden PAS itu sekadar mengulangi tentangan parti terbabit kepada Icerd dan memberi amaran untuk turun ke jalan raya jika kerajaan tetap mahu mengiktiraf konvensyen berkenaan.
Himpunan Perpaduan Ummah
Himpunan itu turut dihadiri ramai pemimpin kanan Umno termasuk Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung Annuar Musa dan Noh Omar.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan seorang lagi naib presiden Khaled Nordin tidak kelihatan.
Terdahulu dalam ucapannya, Zahid berkata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman telah dipertanggungjawabkan untuk mengadakan lagi "Himpunan Perpaduan Ummah" seperti malam ini di seluruh negeri di Semenanjung.
"Tak perlu kutip duit, tak perlu minta duit beliau, insyaAllah Umno dan PAS juga tak perlu membelanjakannya.
"InsyaAllah, kita datang bukan kerana duit, bukan kerana makan, kita datang dengan semangat perjuangan Islam, Melayu, dan tanah air," kata presiden Umno.