malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
PAS akan beri sokongan undi, jentera pada Tok Mat
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM
ADS

PAS memutuskan akan memberi undi dan jika perlu menurunkan jentera partinya bagi menyokong Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menjadi calon pilihan raya semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, maklum Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

“PAS akan menyokong Mohamad dalam usahanya mempertahankan kerusi itu jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRK diadakan.

“Kita akan beri sokongan sama ada undi atau mungkin kalau perlukan jentera kita, kita akan turunkan,” katanya, lapor media tempatan hari ini

BH Online melaporkan Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu dipetik berkata sokongan PAS itu diterjemahkan dengan memberi laluan kepada Umno dalam pilihan raya semula itu.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu pun kita tak bertanding dan kerusi itu adalah kerusi tradisi Tok Mat (nama gelaran kepada Mohamad),” katanya.

PAS fikir persiapan

Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak akan meletakkan calon dalam pilihan raya semula DUN Rantau.

“Dulu pun kita tak letak calon, bukan sebab Mohamad tapi sebab kita fikirkan kekuatan jentera, persiapan jadi kita beri laluan Mohamad," jelasnya.

Umno akan meletakkan penyandang asal kerusi DUN Rantau, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya semula yang akan diadakan.

Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas calon PKR Dr S Streram dilarang masuk pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban pada 16 November mengisytiharkan kemenangan Mohamad Hasan bagi kerusi negeri Rantau pada PRU14 sebagai tidak sah dan batal.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen