malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nasib penoreh getah diberi perhatian - Teresa
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM
ADS

Kementerian Industri Utama sedang mengambil perhatian tentang nasib penoreh getah berdasarkan kedudukan harga getah sekarang.

Menteri berkenaan Teresa Kok berkata kementerian telah membawa perkara itu ke kabinet untuk penelitian jemaah menteri.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada jemaah menteri pada Jumaat mengenai implikasi kos sekiranya kerajaan menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada paras sedia ada iaitu RM2.20 sekilogram.

“Semalam dalam mesyuarat Kabinet, saya telah memberitahu para anggota kabinet tentang keadaan yang dialami oleh penoreh getah kita. Dan saya juga telah membentangkan kepada mereka bahawa sekiranya kerajaan memberikan apa-apa bentuk bantuan, apakah kos yang terlibat,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melawat Pusat Mengumpul Getah (PMG) PRIMINIS Lembaga Getah Malaysia di Jelebu, Negeri Sembilan hari ini, Teresa menarik perhatian bahawa paras harga (pengaktifan) kini ditetapkan pada RM2.20 sekilogram.

“Jadi, kalau harga getah jatuh di bawah RM2.20, LGM (Lembaga Getah Malaysia) akan ‘top up’ bagi mereka sehingga RM2.20.

"Jadi, mengikut pengiraan yang saya ada, sekiranya kesemua penoreh getah hari ini menuntut perbezaan sekiranya harga jatuh di bawah RM2.20 sekilogram itu, kerajaan kena adakan peruntukan sebanyak RM294 juta untuk dibayar kepada semua penoreh getah untuk membayar perbezaan harga getah itu.

Kos yang perlu dibayar

“Jadi, ini adalah sistem Insentif Pengeluaran Getah. Ini adalah apa yang kita boleh lakukan sekarang,” kata menteri itu.

Menurutnya, jika ada pekebun kecil yang tidak berpuas hati dengan menyatakan kadar RM2.20 itu masih rendah, kementerian telah membuat pengiraan.

“Jika kita tingkatkan paras harga kepada RM2.50 (sekilogram), jadi, kerajaan perlu membayar RM657.54 juta kepada semua (yang terlibat). Ini memang satu angka yang sangat besar.

“Kita harus juga ingat kita ada pekebun kecil yang menanam tanaman lain macam sawit dan pekebun kecil yang lain juga mengalami keadaan yang susah sekarang. Jadi ini adalah kos yang perlu dibayar,” katanya.

Teresa berkata beliau telah membentangkan pengiraan itu kepada kabinet dan Kementerian Kewangan telah menyatakan akan mengkaji perkara itu.

“Oleh kerana kita tahu keadaan persekitaran ekonomi kita sekarang ini kurang baik, jadi bagi Kementerian Kewangan saya rasa mereka perlu membuat pengiraan yang lebih teliti,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen