malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dr Wan Azizah dilantik pengerusi Majlis Penasihat PKR
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM
ADS

PKR menubuhkan majlis penasihat dan Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai pengerusinya yang pertama.

Pelantikan Dr Wan Azizah ​​​​​​​dibuat melalui usul khas yang dibawa Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil sebelum dipersetujui sebulat suara oleh lebih 2,000 perwakilan pada Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Fahmi yang juga Anggota Parlimen Pantai berkata usul pelantikan berkenaan dibuat supaya Dr Wan Azizah yang berkhidmat sebagai presiden buat kali terakhir pada kongres kali ini dapat terus menyumbang kepada parti.

"Ini juga sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa beliau kepada parti," katanya semasa membentangkan usul berkenaan sebaik sesi perbahasan ucapan presiden selesai hari ini.

Ketika ditemui Bernama kemudian, Fahmi berkata majlis penasihat itu adalah struktur kepimpinan yang baru dan belum mempunyai komposisi keanggotaan yang lengkap.

Katanya fungsi majlis akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Terdahulu ketika pembentangan usul khas berkenaan, Fahmi berkata kongres kali ini turut mengambil ketetapan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr Wan Azizah atas segala pengorbanan, tunjuk ajar dan kepemimpinan beliau semasa menerajui PKR.

Katanya kongres juga menzahirkan komitmen dan tekad seluruh anggota serta majlis pimpinan parti untuk meneruskan perjuangan reformasi dan keadilan dengan mengambil tauladan daripada kesabaran, keberanian dan pekerti mulia ditampilkan oleh Dr Wan Azizah dalam membentuk budaya politik baru di Malaysia.

Seterusnya, Fahmi berkata kongres juga menggesa Dr Wan Azizah untuk terus memainkan peranan aktif dalam parti bagi melakar kejayaan lebih bermakna dalam membela rakyat dan meningkatkan martabat negara.

- Bernama

Lihat Komen