malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Langgar protokol: Loke tak nak dengar cerita saya - Vigneswaran
ADS

Presiden Dewan Negara S Vigneswaran menafikan dakwaan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bahawa dirinya melanggar protokol keselamatan di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala LUmpur (KLIA).

Bercakap kepada Malaysiakini, Vigneswaran berkata beliau kesal tidak diberikan peluang membuat penjelasan mengenai cerita dari pihaknya mengenai kejadian tersebut, sebelum menteri mendedahkan isu tersebut kepada pihak media.

"Komen yang dibuat menteri tidak wajar, salah dan tiada justifikasi.

"Saya menghubunginya (Loke) hari ini dan memintanya supaya menghubungi saya bila-bila beliau dapat berbuat demikian. Beliau memilih untuk tidak mahu mendengar cerita dari pihak saya," katanya.

Vigneswaran berkata kakinya bengkak dan beliau masuk ke bilik VIP kerana menghantar anaknya yang mahu melakukan perjalanan melancong ke luar negara.

Terdahulu hari ini, Loke menunjukkan kepada pihak media rakaman video litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian pada 14 November itu.

Menteri pengangkutan mendakwa Vigneswaran dengan sengaja melanggar protokol keselamatan, termasuk memakai selipar dan tidak mematuhi kod etika berpakaian, menengking kakitangan lapangan terbang dan masuk ke bilik VIP tanpa pas keselamatan.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah kakitangan khidmat pelanggan KLIA, Norafiza Mohd Nasir, yang menjelaskan pengalamannya bersama Vigneswaran di bilik VIP KLIA.

Vigneswaran ditanya jika beliau telah menengking Norafiza ketika kakitangan KLIA itu cuba menunjukkan kepadanya surat pekeliling kerajaan mengenai kod etika berpakaian.

Bagi soalan ini, Vigneswaran tidak menjawab tetapi menyalahkan Norafiza (gambar, kanan) kerana "menafsirkan" peraturan berkenaan secara tidak adil.

"Penyambut tetamu di bilik VIP yang menghalang saya, bukan anggota keselamatan [...] pekeliling itu tidak menyebut tentang selipar, hanya tetamu yang perlu berpakaian bersesuaian (berpakaian sesuai).

"Bagaimana dia boleh bercakap tentang selipar (tidak dibenarkan)? Ramai orang memakai selipar (sepanjang masa) ketika mereka bersembahyang di ruang solat di bilik VIP.

"Dia menafsirkan peraturan untuk memenuhi kesuaian hasrat dan keinginannya sahaja," jelasnya.

Aduan dihantar ke JPM

Bagaimanapun, Vigneswaran mengakui beliau tidak mempunyai pas keselamatan pada dirinya ketika masuk ke bilik VIP.

Vigneswaran berkata, pembantunya membuat aduan mengenai layanan yang telah beliau terima di bilik VIP pada hari berikutnya selepas kejadian itu berlaku.

Aduan tersebut yang dilihat Malaysiakini, menyatakan tidak ada tanda-tanda jelas yang menghalang penggunaan selipar dan berkata peraturan itu tidak "sesuai" buat tetamu yang ingin melakukan perjalanan dengan keselesaan mereka sendiri.

Beliau juga menggesa tindakan diambil terhadap kakitangan yang tidak sopan kepadanya di bilik VIP itu.

Aduan berkenaan dihantar melalui e-mel kepada Jabatan Perdana Menteri, yang mengawasi keistimewaan kepada kakitangan kerajaan.

 

Lihat Komen