malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Wahai PH, IGP, di mana anak perempuanku?'
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM
ADS

M Indira Gandhi menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan usaha untuk mencari anak perempuannya, Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya sembilan tahun lalu.

Menuntut penjelasan berkenaan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Polis Negara Fuzi Harun, M Indira berkata sehingga kini dia tidak dapat melihat anak perempuan bongsunya itu.

"Di mana mereka? Adakah Prasana hidup? Adakah dia sihat? Sebagai ibunya, saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Mengapa? Sebab pihak berkuasa belum memberitahu saya apa-apa mengenainya," kata Indira.

Beliau berkata demikian dalam surat terbuka yang ditulis kepada kerajaan dan IGP yang diterbitkan oleh Malay Mail hari ini.

Pada tahun 2009, bekas suami Indira memeluk agama Islam dan menukar nama kepada Muhammad Riduan Abdullah. 

Bekas suaminya juga menukar agama tiga anaknya secara sepihak, dan kemudian mengambil Prasana ketika berusia 11 bulan.

Sejak itu, Indira hanya melihat Prasana sekali di mahkamah ketika anak perempuannya itu berusia setahun dan enam bulan.

Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan waran tangkap terhadap Ridhuan pada tahun 2014, dan Fuzi berkata polis sedang berusaha menjejakinya ketika itu.

Menteri Kerja Raya M Kulasegaran, yang juga peguam Indira juga sebelum ini berkata beliau akan meminta polis mempercepatkan usaha pencariannya.

Setakat ini, tidak ada perkembangan dilaporkan mengenai usaha mencari mereka.

Indira memiliki hak penjagaan terhadap kedua-dua orang anaknya.

Walaupun penukaran agama ketiga-tiga anaknya dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari lalu, Indira secara terbuka berkata Prasana masih terus kekal menganut agama Islam.


Baca: 'Anak saya boleh kekal Islam, saya cuma nak dia balik'


Bagaimanapun, buat masa ini, Indira berkata dia akan terus mencari jawapan mengenai keberadaan anak perempuannya itu.

"Saya sayang anak perempuan saya. Saya tidak tahu berapa lama saya akan hidup, tetapi selagi saya bernafas, saya akan menyebut nama Prasana setiap hari, saya akan terus bertanya tentang dia sehingga dia akan bersatu semula dengan saya dan dua lagi adik-beradiknya yang lain.

"Malaysia baru adalah hari di mana anak perempuan saya dikembalikan kepada saya.

"Jadi kepada IGP dan kerajaan PH - berapa lama lagi?" soalnya dalam surat terbuka itu.

Lihat Komen