malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gobind: TM perlu selesai isu Streamyx, pelanggan tak puas hati
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM
ADS

Kementerian Komunikasi dan Multimedia meminta Telekom Malaysia (TM) memberi penjelasan dan cadangan penyelesaian berkenaan isu ketidakpuasan hati para pelanggan terhadap caj perkhidmatan jalur lebar, Streamyx.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata bahawa beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memanggil TM bagi meminta penjelasan berkenaan perkara ini dan satu laporan akan dikemukakan pada minggu depan.

“TM seharusnya lebih prihatin. Berikanlah penjelasan berkenaan isu Streamyx kepada pelanggan mereka. Apakah cadangan untuk selesaikan isu ini? 

"Kalau infra copper Streamyx tidak mampu memberikan kelajuan tinggi, sila nyatakan dan sebut dengan jelas apakah langkah seterusnya?” katanya dalam catatan Twitter, hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan mendiamkan diri bukanlah satu pilihan terutamanya apabila terdapat ramai pengguna Streamyx di negara ini.

“Walau apa pun, TM harus menghargai pelanggan mereka dan memberikan respons…ramai yang mengadu tapi sehingga sekarang, tiada usaha daripada TM untuk terangkan masalah sebenar kepada pelanggannya dan apakah tindakan yang akan diambil,” tambahnya.

Gobind berkata demikian sebagai respons terhadap aduan beberapa pengguna Twitter berhubung akses Internet yang masih mengekalkan harga tidak berpatutan di seluruh negara yang didakwa tidak masuk akal.

- Bernama

Lihat Komen