malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Streram yakin menang jika jadi calon semula
ADS

Ketika Rafizi Ramli 'disebut-sebut' sebagai antara calon pilihan raya semula kerusi DUN Rantau, bekas calon PKR untuk kerusi itu, Dr S Streram sekali lagi tampil mengulangi kesudian untuk bertanding di sana.

Malah beliau juga turut memberi keyakinan mampu mencipta kemenangan sekiranya dipilih sekali lagi oleh partinya untuk bertanding di DUN Rantau.

"Saya janji jikalau diberi peluang untuk jadi calon sekali lagi, saya akan memastikan akan mencipta kemenangan.

"Kita tambah satu lagi kerusi," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Streram dipertaruhkan PKR bagi bertanding di DUN Rantau pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu bagi menentang bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan.

Bagaimanapun beliau gagal bertanding apabila tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak membawa tag ataupun pas masuk yang akhirnya menyaksikan Mohamad menang 'secara percuma.'

Anwar sahkan Rafizi dalam senarai calon

Sebelum itu, pada sebelah pagi tadi, Anwar Ibrahim yang menang tanpa bertanding presiden PKR telah mengesahkan Rafizi antara nama yang disenaraikan sebagai calon bagi pilihan raya semula kerusi DUN Rantau.

Semalam, desas-desus tersebar bahawa bekas anggota parlimen Pandan itu bakal diangkat PKR untuk merebut kerusi berkenaan.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam memerintahkan kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan kosong dan kemenangan Mohamad pada PRU14 lalu adalah tidak sah.

Menurut hakim Azimah Omar, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

 

Lihat Komen