malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PH patut fokus tunai janji, bukan pemilihan PKR - Rafizi
ADS

Rafizi Ramli yang tewas dalam persaingan timbalan presiden PKR berpendapat majlis presiden Pakatan Harapan (PH) mempunyai perkara yang lebih penting untuk dibincangkan berbanding urusan dalaman PKR.

"Kami menghormati satu sama lain dalam PH bahawa kami tidak campur tangan antara satu sama lain (dalam parti)," katanya kepada media di Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya berkata partinya akan membangkitkan isu politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan PKR baru-baru ini pada mesyuarat majlis presiden PH yang akan datang.

Marzuki, yang juga timbalan menteri luar berkata Bersatu bimbang tuduhan sedemikian boleh memberi kesan terhadap pentadbiran kerajaan PH.

Mengakui tuduhan berkenaan boleh dibincangkan oleh majlis presiden PH, Rafizi bagaimanapun berkata gabungan itu harus menumpukan komitmen terhadap usaha memenuhi janji-janji pilihan raya.

"Saya fikir PH perlu memberi tumpuan lebih kepada prestasinya," katanya yang menambah keutamaan rakyat adalah melihat gabungan itu memenuhi janji pilihan raya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata PKR dikritik kerana merupakan parti pertama dalam PH melaksanakan pemilihan parti itu selepas pilihan raya umum ke-14.

"Politik wang jadi masalah mana-mana parti, begitu juga yang berlaku dalam PKR yang terlebih dulu melaksanakan pemilihan kami.

"Tunggu Amanah, Bersatu. Bahkan DAP (mengadakan pemilihan) secara tertutup," katanya.

Beliau menambah PKR berjanji menyiasat aduan mengenai dakwaan politik wang dan bersetuju untuk membawa perkara itu kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata politik wang dan rasuah dalam parti itu harus dirujuk kepada pihak berkuasa.

Lihat Komen