malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar sahkan nama Rafizi ada dibangkitkan di DUN Rantau
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 6:04 AM
ADS

Nama Rafizi Ramli antara yang disenaraikan sebagai calon bagi pilihan raya semula kerusi Dun Rantau yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam sidang media pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.

"Nama Rafizi ada dibangkitkan," katanya ringkas sebelum meninggalkan sidang media.

Semalam, khabar angin tersebar bahawa bekas anggota Parlimen Pandan itu bakal diangkat PKR bagi merebut kerusi berkenaan.

Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam memerintahkan kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan kosong dan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah tidak sah.

Menurut hakim, Azimah Omar, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR, Dr S Streram masuk sedangkan pengawai pengurus tahu dia berada di luar pusat penamaan pada 28 April lalu.

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad yang juga adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan sebagai pemenang kerusi DUN Rantau, satu daripada empat kerusi DUN bawah Parlimen Rembau.

Ketika ditemui di mahkamah semalam, Streram turut berharap diberi peluang sekali lagi bagi bertanding di kerusi berkenaan.

Sementara itu Anwar berkata, sama ada Rafizi ataupun calon lain akan dipertaruhkan ia akan ditentukan selepas melalui proses tapisan parti.

"Secara dasarnya proses pemilihan calon bermula dari peringkat cabang lagi, seterusnya dibawa kepada biro politik dan kemudiannya akan diputuskan oleh presiden," jelas Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen