malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan tamat khidmat doktor didakwa mencabul
Diterbitkan:  Nov 16, 2018 10:31 PM
Dikemaskini: 2:31 PM
ADS

Seorang doktor pakar yang juga merupakan ketua jabatan sebuah hospital di Lembah Klang telah ditamatkan perkhidmatannya pada Rabu lepas berhubung dakwaan salah laku seksual.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan untuk menamatkan perkhidmatan doktor pakar terbabit berkuatkuasa 14 November manakala surat penamatan perkhidmatan disampaikan kepadanya semalam.

“Jawatankuasa Siasatan Khas sudah selesai menjalankan siasatan pada 23 Oktober. Laporan lengkap siasatan jawatankuasa itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 24 Oktober sebelum JPA mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Keputusan daripada hasil perbincangan antara JPA dan AGC diangkat untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Pada 24 September lepas, Jawatankuasa Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi melengkapkan maklumat siasatan awal oleh Badan Siasatan Bebas berhubung dakwaan salah laku seksual oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital awam di Lembah Klang.

ADS

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebelum ini turut menggantung tugas Ketua Jabatan Ortopedik itu selama selama dua bulan bermula 17 September lepas bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak yang berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen