malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ketum: Muhyiddin patut jumpa orang kampung juga, kata NGO
Diterbitkan:  Nov 13, 2018 8:31 PM
Dikemaskini: 12:31 PM
ADS

sebuah NGO hari ini meluahkan kekecewaan dengan kenyataan Muhyiddin Yassin berkenaan cadangan pengharaman ketum yang akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Persatuan Pembiakan Tumbuhan Herba dan Pokok Herba Negeri Kedah (Pembiak) berkata apatah lagi kerajaan tidak pernah mendapatkan pandangan daripada kelompok yang menyokong penanaman ketum, termasuk penduduk kampung yang menanamnya.

"Kami memohon menteri dalam negeri agar berlaku adil dengan mengadakan juga perjumpaan dengan pakar yang mengkaji ketum dan NGO (sebelum mencadangkan pengharaman).

"Tidak adil kepada penduduk kampung jika beliau hanya mendengar penjelasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia saja," kata pengerusinya Husaini Mat Rejab dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Husaini (kanan) mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan mahu membanterasnya daripada digunakan secara berleluasa.

Penanaman pokok itu perlu diharamkan kerana tindakan selepas daunnya sudah diproses adalah sudah terlewat, katanya.

Kenyataan itu dibantah bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Zahidi Zainul Abidin yang berkata sudah banyak negara, termasuk Thailand, yang meluluskan penanaman ketum.

Katanya ia juga boleh menambahkan pendapatan pekebun kecil, dan itulah yang sepatutnya difikirkan Muhyiddin.

Setuju dengan cadangan itu, Husaini berkata penanaman dan penjualan ketum sebenarnya boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada penduduk kampung, apatah lagi dengan harga getah yang merosot sekarang.

"Sudahlah harga murah, hujan pula selalu turun (merosakkan getah). Kini pula sudah ada getah sintetik yang lebih murah."

Katanya, ketum sekian lama digunakan untuk perubatan oleh masyarakat terdahulu dan hanya didapati di Malaysia, Thailand, Indonesia dan sebahagian Afrika Selatan.

"Ia boleh jadi sumber pendapatan kepada negara tetapi kita tidak manfaatkannya," katanya sambil menambah dengan kajian pakar, ketum boleh dijadikan ubat tahan sakit dalam bentuk kapsul untuk dieksport ke luar negara.

Husaini bagaimanapun mengakui ada yang menyalahgunakan ketum dengan menjadikannya sebagai pengganti kepada dadah sintetik kerana harganya yang lebih murah.

"Walaupun ada penyalahgunaan ia masih boleh dikawal. Pengguna ketum mudah didekati dan masih boleh menjalankan kerja harian, bukan seperti dadah sintetik," katanya.

Bagi mengawal perkara itu juga, beliau berkata Pembiak giat menjalankan kempen kesedaran di peringkat akar umbi di Kedah seperti menganjurkan kegiatan riadah dan sesi perkongsian kecil-kecilan.

Lihat Komen