malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan sokong larangan merokok, dengan syarat...
ADS

Ketika tiga persatuan pengusaha restoran membantah larangan merokok di semua premis makanan, Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (Permas) menyuarakan nada yang berbeza dengan menyokong langkah itu.

Namun Permas berharap kerajaan dapat memberikan kelonggaran dengan membenarkan pengusaha restoran mewujudkan ruang khas merokok untuk pelanggan mereka.

Presidennya Ayob Abd Majid berkata, pendekatan itu akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

"Kami setuju dengan larangan itu tetapi memohon kerajaan benarkan restoran wujudkan ruang khas atau bilik merokok. Sama seperti ruang di lapangan terbang misalnya.

"Ruang khas merokok yang sistematik dan tidak memberi kesan kepada (pelanggan) bukan perokok, pengusaha restoran perlulah sedia keluarkan sedikit peruntukan untuk menyediakannya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, tiga persatuan yang mewakili lebih 20,000 pengusaha restoran mengadakan demonstrasi aman di depan bagunan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) bagi membantah larangan kerajaan itu yang akan dikuatkuasakan 1 Januari nanti.

Tiga persatuan itu adalah Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (Mscspga), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Prisma).

Mereka berpandangan ia melucutkan hak mereka selaku pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.

Presiden MSCSPGA, Ho Su Mong pula berkata kementerian kesihatan sepatutnya mendapatkan pandangan mereka sebelum memutuskan perkara itu.

Mengulas lanjut, Ayob berkata larangan itu akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pelanggan yang merokok pastinya takut untuk ke kedai mereka.

"Dalam situasi hari ini dengan keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan dan pengusaha restoran perlu mencari jalan menang-menang," katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, yang berkata larangan itu sudah pun diluluskan di parlimen.

Pada 14 Oktober lalu, Lee berkata walaupun tidak menggalakkan ruang khas seperti itu, kementerian tetap akan membincangkan cadangan itu sebelum membuat keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen