malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Wakil rakyat Umno tak perlu keluar parti sokong PH - Adun
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 6:01 PM
Dikemaskini: 11:15 AM
ADS

DUN KEDAH | Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini mengakui kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas sekali gus memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) (BN-Sungai Tiang) Suraya Yaacob berkata semua wakil rakyat di negeri ini sama ada pembangkang mahupun kerajaan perlu secara bersama memastikan kemajuan negeri ini sehingga menjadikan kehidupan rakyat Kedah jauh lebih baik berbanding negeri lain.

“...jadi the struggle of power tak patut berlaku lagi dah, kita teruskan mengakui kekalahan, mengakui kemenangan dan kita teruskan, ini bukan negeri lain, ini negeri Kedah. Harapan saya nak teruskan sahaja, tak jadi kerajaan pun tak apa, no problem (dengan izin).

“Saya dah jadi pembangkang, kita hanyalah ahli politik biasa, politikus yang nak lihat sesuatu yang baru sepanjang kita jadi wakil rakyat ini, kita bersama laksana perkara tersebut… kita tak kata kita pembangkang, kita kata kita wakil rakyat, nak lihat apa berlaku di kawasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk tindakan Adun Guar Chempedak Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail keluar dari Umno dan menjadi wakil rakyat bebas ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Alor Setar hari ini.

Pengumuman Adun Guar Chempedak itu keluar parti dibuat Speaker DUN Datuk Ahmad Kassim sebaik persidangan DUN bermula sebelum sesi soalan lisan berlangsung pagi ini.

Berhenti cakap soal kerusi

Ku Abdul Rahman yang berumur 62 tahun dan berasal dari Yan itu menang pada PRU14 lepas setelah menewaskan calon PAS Musoddak Ahmad.

Suraya berkata wakil rakyat pembangkang dan kerajaan di negeri ini diminta berhenti daripada terus membuat perbandingan pihak mana menang banyak dan sikit pada PRU14 lepas dengan hanya perlu menumpukan usaha memajukan Kedah.

“Jadi saya berharap kita berhenti bercakap soal siapa ada lebih kerusi, siapa dapat banyak kerusi, siapa dapat kurang kerusi, kita berhenti cakap siapa nak dapat kuasa lebih, kita berhenti bercakap undi tak percaya…,” katanya.

Beliau berkata wakil rakyat pembangkang seperti Umno tidak perlu keluar parti untuk memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan sedia ada kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Saya boleh undi, macam saya undi Speaker (DUN) dan tidak memerlukan kita lompat parti, sama juga dengan parlimen, tak perlu (keluar parti)… boleh menyokong belanjawan ini tanpa perlu lompat parti pun, sebab itu kita perlu menghormati sistem demokrasi,” katanya.

Persidangan DUN akan bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen