malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Tak kan kita nak terima orang macam Ali Tinju
ADS

Nampaknya hasrat veteran tentera Mohd Ali Baharom untuk menjadi anggota Bersatu hampir pasti tidak akan menjadi kenyataan.

Ia selepas presiden parti itu Muhyiddin Yassin membayangkan partinya tidak akan meluluskan permohonan keanggotaannya yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

Beliau berkata, Bersatu menerima secara automatik setiap permohonan untuk menjadi anggota tetapi penilaian akan dibuat sama ada untuk meluluskannya atau tidak.

"Parti kita ada prinsip dan hanya akan terima mereka yang dilihat berpegang kepada prinsip perjuangan parti, tiada rekod buruk..."

"Ali Tinju mungkin orang kenal dia bukan kerana cerita yang bagus, media yang banyak buat liputan tentang dia. Sama macam Jamal Jamban (Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos.

"Jadi tak akan kita nak terima masuk orang macam ini?" katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya hari ini.

Ali yang pernah memimpin Persatuan Veteran Tentera Malaysia mula mendapat perhatian pada 2012 selepas mengadakan protes 'senaman punggung' di luar rumah S Ambiga, ketika itu pengerusi bersama Bersih.

Beliau kemudian terus mencuri perhatian dengan pelbagai aksi, termasuk terlibat dalam kekecohan di luar Plaza Low Yat pada awal tahun 2015 menyebabkan beliau dituduh di mahkamah, pendakwaan terhadapnya digugurkan oleh peguam negara ketika itu, Mohd Apandi Ali.

Semalam, beliau dilaporkan menyerahkan borang keahlian Bersatu bahagian Bandar Tun Razak, atas dasar insaf dan tidak lagi percaya keada kepimpinan Umno.

Namun hasrat itu tampak malap sejak dari awal apabila Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata permohonan itu akan ditolak.

Lihat Komen