malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak patut panggil Anwar hantu raya – Amanah Johor
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM
ADS

Pemuda Amanah Johor menempelak Presiden Umno Zahid Hamidi yang menggelar Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebagai 'hantu raya'.

Ketua pemudanya Taqiuddin Cheman berkata tindakan itu tidak mencerminkan akhlak kemelayuan yang terpuji.

"Dalam adat Melayu, hantu ini adalah salah satu sifat kejahatan yang jitu apatah lagi 'hantu raya' yang selalu disinonimkan dengan gelaran kepada belaan jin bagi pemahaman bangsa Melayu.

"Sepatutnya walau seteruk mana pun lawan kita, sebagai orang Melayu itu bukan adat kami dan ini mencerminkan bahawa Zahid sepatutnya belajar lebih lagi tentang adat Melayu,” katanya.

Semalam, Zahid mengumpamakan Anwar sebagai hantu raya dari Port Dickson yang akan "mengaruk" jika tidak dapat menjadi perdana menteri.

“Hantu raya yang menang (Parlimen) Port Dickson itu dijanjikan dua tahun, enam bulan sudah berlalu.

“Kita tengok setahun setengah lagi. Kalau hantu raya itu tidak dapat (jadi perdana menteri), pasti dia mengaruk.

“Saya tahu, dulu kawan saya,” kata Zahid seperti dilaporkan media tempatan.

Lihat Komen