DEWAN RAKYAT | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang sebagai saksi dalam siasatannya terhadap 1MDB.
Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata PAC akan memutuskan tarikh pendengaran esok.
"Esok, mesyuarat akan membincangkan prosiding berkenaan 1MDB. Kami akan memulakan siasatan terhadap laporan audit negara yang telah diklasifikasi di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi) sebelum ini.
"...Dan akan bincang dan tetapkan tarikh untuk menetapkan prosiding memanggil saksi pertama, iaitu bekas ketua audit negara Ambrin Buang," katanya.
Pada 29 Oktober lalu, Wong mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa ada pihak yang telah meminda laporan tersebut atas arahan "orang tertentu".
Beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut dakwaan itu, tetapi Ambrin telah menafikan dakwaan itu.
Pada 2015, ketika isu 1MDB menjadi perhatian dalam dan luar negara, bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan audit dilakukan terhadap 1MDB dengan laporannya dihantar kepada PAC.
Walaupun beliau berjanji proses itu akan dilaksanakan secara telus, laporan yang siap pada 2016 diklasifikasikan bawah OSA. Ia berbeza dengan laporan Jabatan Audit Negara yang biasanya menjadi dokumen awam.
Status rahsia laporan itu dibatalkan pada 15 Mei lalu, kira-kira selepas seminggu Pakatan Harapan menang PRU ke-14.
Sementara itu, Wong juga mengumumkan PAC akan meneiliti kes yang dibangkitkan dalam laporan ketua audit negara yang dibentang di Parlimen pada Ogos lalu.