malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
6 perkara anda perlu tahu tentang hukuman mati
ADS

KINIGUIDE | Pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk memansuhkan hukuman mati - dengan rancangan menggantikannya dengan penjara sekurang-kurangnya 30 tahun - membangkitkan perbahasan di kalangan orang ramai.

Keluarga mangsa bunuh membantah langkah itu manakala pejuang hak asasi manusia menyokongnya.

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin tiada sesiapa yang boleh diambil nyawa atau dilucut kebebasan dirinya. Ini merupakan rujukan penting, terutama berkaitan menghukum mereka yang mengancam ketenteraman sosial dan nyawa orang lain.

Namun Perkara 5 juga memasukkan frasa "kecuali mengikut undang-undang". Jadi, adakah kerajaan dibenarkan mengambil nyawa seseorang atas nama keadilan?

Pemansuhan hukuman mati bukan saja memberi kesan kepada 1,279 banduan yang sedang menunggu menerima hukuman, tetapi ia juga melibatkan perbahasan berkenaan perlembagaan, sistem politik, falsafah dan etika.

Dan persoalan sama ada Malaysia mempunyai autoriti moral untuk mempertahankan nyawa warganya di luar negara, seperti dalam kes Prabu Pathmanathan (gambar), pemuda berusia 31 tahun yang dihukum mati di Singapura 26 Oktober lalu.

Kiniguide ini bertujuan memberi gambaran keseluruhan berkenaan hukuman mati di Malaysia dan seluruh dunia.

1. Apakah jenayah yang membawa kepada hukuman mati?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong, terdapat 32 seksyen dalam lapan undang-undang persekutuan yang memberikan hukuman mati kepada mereka yang disabitkan kesalahan.

Hukuman mati mandatori untuk 12 daripada seksyen itu, antaranya bunuh dengan niat, penyeludupan dadah dan pemilikan senjata api.

Hukuman mati mandatori bermaksud hakim hanya boleh menjatuhkan hukuman itu kepada individu yang disabit bersalah mengikut seksyen tersebut, walaupun tertuduh itu, misalnya, mempunyai masalah mental.

Bagi jenayah-jenayah lain, hukuman terletak kepada budi bicara hakim.

Seksyen 277 Kanun Acara Jenayah (CPC) menyatakan bahawa apabila individu dijatuhkan hukuman mati, hukuman harus mengarahkan dia digantung di leher sehingga mati, tetapi tidak menyatakan tempat dan masa hukuman patut dijalankan.

Bagaimanapun ada dua pengecualian.

Seksyen 275 CPC dan Seksyen 97 Akta Kanak-kanak 21 menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada perempuan mengandung dan kanak-kanak berusia 18 tahun. Sebagai gantinya, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup.

 

2. Berapa negara yang telah memansuhkan hukuman mati?

Menurut Amnesty International, sejumlah 142 negara yang telah memansuhkan hukuman mati atau mengumumkan moratorium terhadap hukuman itu, sementara 56 negara lagi masih mengekalkannya.

Dalam 142 negara itu, sejumlah 106 telah memansuhkannya sama sekali, tujuh memansuhkan sebahagian manakala 29 lagi menangguhkan hukuman.

Malaysia dalam 56 negara yang masih melaksanakannya, bersama-sama China, Jordan, Singapura dan Mesir.

Di kalangan 11 negara di Asia Tenggara, enam sudah memansuhkannya atau menangguhkan hukuman, iaitu Kemboja, Filipina, Laos, Brunei, Timor Timur dan Myanmar.

Lima negara yang belum berbuat demikian ialah Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

3. Berapa jumlah hukuman mati di Malaysia?

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, terdapat 1,279 banduan yang sedang menunggu hukuman mati setakat 11 Oktober 2018.

Ia merangkumi 710 warga Malaysia dan 569 warga asing, dan 1,136 lelaki dan 143 perempuan.

Sejumlah 932 daripada mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 317 lagi kerana kesalahan bunuh.

Seramai 366 banduan sedang membuat rayuan dan 355 lagi menunggu pengampunan, yang mungkin diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan jawapan parlimen, dalam tempoh 1960 hingga 2011, sejumlah 51.7 peratus yang dijatuhkan hukuman itu atas kesalahan penyeludupan dadah dan 17.7 peratus atas kesalahan bunuh. Sejumlah 33 banduan digantung sejak 2010 hingga 2018. 

4. Bolehkah hukuman mati mengurangkan jenayah?

Mereka yang mahu hukuman ini dikekalkan berkata ia mampu mengurangkan jenayah, tetapi sejauh mana kebenarannya?

Statistik daripada Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayag menunjukkan kes bunuh di Filipina menurun sedikit selepas pemansuhan hukuman mati di negara itu pada 2006. Bagaimanapun ia meningkat untuk dua tahun sehingga 2011.

Di Kemboja, yang memansuhkan hukuman ini pada 1989, kes bunuh menurun secara progresif antara 2003 hingga 2011.

Di Thailand pula - yang masih mengekalkannya - kes bunuh juga menurun sedikit antara 2003 hingga 2015. Jumlah kes itu di Malaysia dan Bangladesh pula naik turun.

Maka tiada bukti jelas yang menunjukkan kadar jenayah berhubung kait dengan hukuman mati.

 

5. Apa langkah Malaysia setakat ini?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadikan pemansuhan hukuman mati sebagai janji manifesto PRU ke-14. Pada mulanya ia merancang untuk memansuhkan semua yang berkaitan hukuman itu tetapi kemudian mengumumkan ia akan digantikan dengan pejara selama 30 tahun.

Bagaimanapun ia - pemansuhan hukuman mati - bukan idea baru di Malaysia.

Ia telah lama diperjuangkan oleh NGO dan badan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Majlis Peguam, Lawyers for Liberty dan Amnesty International.

Pada 2009, di Penilaian Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia PBB, perwakilan Malaysia berkata kerajaan merancang meminda undang-undang penyeludupan dadah untuk menggantikan hukuman mati mandatori kepada penjara seumur hidup, dan menyemak semua perundangan berkaitannya.

Selepas empat tahun berjuang menentang hukuman mati ke atasnya, warga Malaysia Yong Vui Kong diberi peluang menukarkannya dengan penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada Julai 2010. Ia sesuatu yang jarang berlaku.

Ia mungkin berkaitan dengan reformasi perundangan Singapura dan juga usaha bersama aktivis negara itu dan Malaysia, serta campur tangan menteri luar ketika itu Anifah Aman yang berusaha mendapatkan pengampunan daripada presiden Singapura.

Pada 2011, bawah menteri undang-undang ketika itu Nazri Abdul Aziz, sidang meja bulat parlimen rentas parti meluluskan beberapa resolusi, antaranya kerajaan patut memansuhkan hukuman mati mandatori, terutama untuk Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, serta mengisytiharkan moratorium untuk menggantung hukuman gantung terhadap banduan sementara undang-undang itu disemak.

Tahun lalu, kerajaan BN membentangkan pindaan bagi membuang hukuman mati bawah seksyen itu, memberikan mahkamah kuasa penuh untuk menjatuhkannya - atau tidak - kepada pesalah. Pindaan itu diluluskan Dewan Rakyat pada 30 November 2017.

Tahun lalu, kerajaan PH mengumumkan moratorium terhadap semua hukuman mati sementara menunggu pindaan undang-undang berkaitan.

6. Apakah hujah asas kumpulan yang menyokong, dan juga menentang, hukuman mati?

Sebahagian penyokong hukuman mati bertegas bahawa ia untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga. Mereka juga yakin ia akan mengurangkan kadar jenayah.

Ada juga hujah mengatakan penjara seumur hidup memakan kos yang besar berbanding hukuman mati, dan kerajaan patut mengutamakan hak asasi dan pampasan kepada mangsa yang tidak bersalah, bukannya pesalah yang sedang menunggu hukuman.

Sementara itu, mereka yang menentang hukuman mati berkata kesilapan mahkamah (miscarriage of justice) mungkin berlaku ketika siasatan polis atau proses pendakwaan.

Penghakiman mungkin menyebabkan seseorang itu menerima hukuman untuk jenayah yang tidak dilakukan, dan hukuman mati terlalu muktamad dan tidak boleh disemak lagi selepas ia dilaksanakan.


Kiniguide ini disediakan oleh CHEONG WEY JIN dan WONG KAI HUI.

Lihat Komen