malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa tablet di pusat mengundi Julau diserang 'malware'
ADS

PEMILIHAN PKR | Calon timbalan presiden Rafizi Ramli mendakwa tablet yang digunakan di pust mengundi Julau telah diserang "perisian intip" (spyware).

"Tablet digodam spyware yang membolehkan ia dikawal dari jauh.

"Saya sudah membuat laporan kepada jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) dan membuat rakaman," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut dakwaan Rafizi, perisian yang dipasang ke dalam tablet itu bernama Prey.

Menurut laman webnya, pembangun Prey menyatakan ia adalah perisian antikecurian yang membolehkan pengguna mengesan peralatan mereka, tetapi juga "membuang data dan fail dalam peralatan yang hilang dari jarak jauh."

ia juga membolehkan pengguna menguruskan dan mengendalikan "ribuan peralatan" secara serentak.

Difahamkan Anggota Parlimen Julau Larry Sng, yang bertanding bagi jawatan ketua cabang, akan membuat laporan polis berkenaan perkara itu.

Ketika dihubungi, penyelaras pemilihan PKR Sarawak Desmond Kho berkata beliau tidak menerima sebarang aduan tentangnya.

Walaupun perisian seperti itu ada dalam peralatan, beliau menyangkal keberkesanannya kerana tablet tidak disambungkan dengan internet.

"Sistem kami seharusnya bebas daripada itu kerana tidak disambung internet.

"Kita tak guna internet, semua undi disimpan dalam server sendiri," katanya lagi.

'Tiada isu besar'

Rafizi kemudian menyangkal kenyataan Kho, dan mendakwa beliau secara peribadi mengesan ada tablet yang "disambung dengan internet secara automatik" pada kira-kira satu tengah hari tadi.

Beliau juga mendakwa melihat seseorang "mengusik" tablet ketika proses pengundian, tetapi enggan menamakan individu itu.

Dalam pada itu, Kho berkata memang ada sejumlah tablet di Julau berdepan masalah, ia tidak memberi kesan terlalu besar kepada proses pengundian.

"Tiada isu besar kerana jumlah keluar mengundi lebih rendah daripada jangkaan," katanya.

Setakat dua petang tadi, Kho berkata hanya 800 anggota yang telah mengundi di Julau dan berkata jumlah yang sedikit itu mungkin disebabkan hujan.

JPP kemudian mengesahkan berlaku "serangan siber" terhadap tablet yang digunakan dan mengumumkan keputusan pengundian di situ digantung sementara menunggu siasatan.

Cabang Julau menjadi perhatian ekoran kenaikan keanggotaan yang mendadak pada 26 Jun lalu, menjadikan jumlahnya meningkat daripada 603 kepada 13,549 dalam masa sehari.

Rungutan berkenaan kejanggalan timbul dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk pendaftaran anggota parti lain tanpa pengetahuan mereka dan menggunakan alamat meragukan.

Bagaimanapun, Setiauasaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution membersihkan cabang itu daripada sebarang keraguan dan berkata proses pendaftaran anggota berjalan secara sah.

Malaysiakini sedang menghubungi JPP dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian untuk mendapatkan maklum balas.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen