Kegagalan kerajaan persekutuan menunaikan sesetengah janji dalam manifesto dapat difahami oleh rakyat yang bijak menilai, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, rakyat diminta memahami keadaan semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak dapat menunaikan beberapa janji sebelum ini.
"Memang benar sebelum ini, amat mudah kita buat macam-macam janji, namun tidak dapat tunaikannya sehingga rakyat kecewa.
"Bagaimanapun, rakyat yang bijak akan faham sebab ia tidak ditunaikan kerana keadaan hutang yang dibuat kerajaan sebelum lebih teruk dari yang dijangka sehingga RM1 trilion.
"Saya yakin rakyat sanggup menanti sehingga masalah negara ini dapat diselesaikan sebelum janji ini ditunaikan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra yang dihadiri kira-kira 1,000 kepemimpinan PH Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Turut hadir, isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman; Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa serta Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed.
Terdahulu, Dr Mahathir menerima 13,717 borang keahlian daripada Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.
Harapan abdi kepada rakyat
Sementara itu mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan bantuan kepada rakyat dengan memperkenalkan belanjawan lebih besar berbanding tahun lalu.
"Bajet beri perhatian kepada semua termasuk orang muda, wanita, pekerja, peniaga, pelabur, semuanya dapat layanan terbaik.
"Ini kejayaan besar biarpun kewangan terhad dengan memperkenalkan bajet yang tidak membebankan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Bersatu berkata, tiga perkara akan dipegang kerajaan Harapan selepas diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Katanya, PH akan mengabdikan diri kepada rakyat, mengekalkan sistem demokrasi dan melakukan pemisahan kuasa pemerintah daripada undang-undang.
"Kerajaan Harapan bukan berjuang untuk pemimpin, tapi untuk agama, bangsa dan tanah air. Sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat memilih kerajaan dan dengan kuasa ini, kita perlu mengabdikan diri kepada rakyat.
"Dalam sistem demokrasi, kita perlu mempunyai undang-undang yang perlu dihormati dan pemerintah terdahulu tidak menghormatinya. Jadi kita mahu undang-undang ini memberi manfaat kepada rakyat dan hapuskan undang-undang yang menekan rakyat.
"Kita juga akan memegang prinsip asingkan kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman. Kita tidak mahu pemimpin menguasai kuasa eksekutif dan kehakiman menyebabkan tiada tindakan diambil bagi mereka melakukan kesalahan," jelasnya.