malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amaran Azmin: Pemilihan esok akan panas, tipu, tabur wang
ADS

PEMILIHAN PKR | Menjelang saat akhir pengundian, situasi kian panas apabila calon timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali mendakwa penipuan termasuk salah guna kuasa akan berlaku dalam pemilihan parti itu.

Katanya, senario itu dapat dilihat seperti berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Najib Razak menggunakan seluruh kuasa yang ada bagi memenangi undi rakyat.

“Ahad ini panas, penipuan akan terus berlaku, salah guna kuasa akan berlaku, tangan ghaib akan terus bergerak, wang akan banyak ditaburkan, saya tahu ada pihak tabur wang begitu banyak semata-mata nak sokong calon.

“Lihat sahaja PRU14, Najib ada wang, SPR, polis, mahkamah, tapi bila rakyat keluar beramai-ramai Najib pun tenggelam.

“Tapi saya bangga dengan anggota keadilan di cabang Kuala Selangor yang tolak sogokan dan tetap pendirian undi berdasarkan merit calon berkenaan bagi kukuhkan parti kita,” katanya Azmin dalam Majlis Semarak Muafakat di Hotel De Palma, Kuala Selangor malam tadi.

Menurut Azmin, hanya satu cara mengalahkan penipuan apabila ahli PKR turun beramai-ramai untuk mengundi.

“Jadi Ahad ini bila mereka menipu dengan menabur wang, tapi kalau calon ini keluar dengan penyokong yang besar penipuan akan tenggelam dan kita akan menang,” katanya sambil menerima sorakan lebih 100 penyokong pasukan Azmin yang hadir.

PKR mengadakan pemilihan secara berperingkat mengikut negeri sejak Oktober lalu dan akan mengadakan pusingan terakhir pada Ahad ini.

Negeri terakhir mengadakan pemilihan - yang dijalankan secara dalam talian - ialah Sarawak. Beberapa cabang di negeri-negeri tertentu juga akan menjalankan proses sama pada hari berkenaan.

Ketika Anwar Ibrahim sudah sah menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR persaingan sengit berlaku di peringkat timbalan presiden.

Penyandang jawatan, Azmin dicabar naib presiden Rafizi Ramli. Kedua-dua calon mempunyai pasukan tersendiri bagi merebut jawatan yang lebih rendah.

Azmin 'barua' rakyat Selangor

Sementara itu, Azmin dalam ucapannya berkata, ahli PKR wajar mengundi pemimpin yang telah “diuji dan teruji”.

Dalam kempen pemilihan saat akhir ini juga, Azmin berkata beliau mempunyai trek rekod yang baik dalam mentadbir Selangor.

Menurutnya, hal itu sehinggakan dinilai sendiri oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akhirnya melantiknya sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

“Sebelum ini saya di (Selangor), negeri kaya tapi duduk di negara bangkrap, tapi tak apa saya terima cabaran sebab dalam keadilan saya di didik apabila kamu diberi amanah dan tanggungjawab buat yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Katanya, antara tugas yang diberikan oleh Dr Mahathir kepadanya adalah untuk merundingkan kos projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) yang mencecah RM120 bilion.

Bagaimanapun, beliau bertegas berjaya berunding dengan Singapura untuk menangguhkan projek berkenaan sehingga ekonomi negara pulih.

Selanjutnya, beliau berkata berjaya menyakinkan Putrajaya bahawa Selangor juga perlu diberikan peruntukan yang sewajarnya dalam belanjawan 2019.

“Inilah yang saya buat, saya nak yakinkan bahawa Selangor mesti ditolong, ditambah RM400 juta, saya dituduh, inilah barua Tun Dr Mahathir, saya bukan 'barua' Dr Mahathir, saya 'barua' rakyat negeri Selangor,” katanya.


 

Lihat Komen