malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perbincangan mengenai ECRL masih berjalan - Daim
Diterbitkan:  Nov 8, 2018 7:03 PM
Dikemaskini: 11:03 AM
ADS

Perbincangan mengenai projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) masih berjalan dengan Malaysia dan China memerlukan sedikit masa menangani isu tersebut, kata bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.

Menurutnya, negara ini sedang meneliti banyak pilihan untuk mengendalikan projek RM80 bilion berkenaan, yang beliau sebutkan sebagai isu "sensitif" agar tidak mengecewakan syarikat China.

"Berikan saya sedikit masa dan kita akan dapat menangani isu ini," kata bekas menteri kewangan tersebut sambil menambah bahawa pihak China telah menemuinya minggu lepas mengenai isu itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2018 hari ini.

Daim, yang dilantik sebagai wakil khas perdana menteri untuk mengendalikan projek ECRL telah pergi ke China pada Ogos untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.

Projek ECRL pertama kali diluluskan oleh kerajaan sebelum ini pada 21 Oktober 2016 dan Perjanjian Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan telah ditandatangani dengan China Communication Construction Company pada 1 November 2016.

Bagaimanapun, kerajaan baharu telah membatalkan projek itu kerana dikatakan terlalu mahal dan tidak praktikal dari segi ekonomi.

Jho Low tak putus asa hantar mesej

Sementara itu, dalam ucaptama sebelumnya, Daim berkata, walaupun di sebalik tuduhan pembangkang mengenai belanjawan ‘potong dan tampal’, beliau percaya Belanjawan 2019 mempunyai tumpuan dan strategi yang tepat untuk mencapai Malaysia baru.

"Tadbir urus dan disiplin fiskal akan menjadi peraturan baru hari ini.

"Belanjawan 2019 juga mempunyai beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna semua rakyat Malaysia, terutama kumpulan B40.

"Adalah penting dalam usaha kita ke arah negara yang bebas dan makmur, tiada sesiapa yang ketinggalan. Kita semua tahu bahawa tiada sesiapa yang memilih untuk menjadi miskin dan mereka yang memerlukan bantuan mesti dibantu," katanya.

Ditanya mengenai ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata: "Jho Low tidak berputus asa dan terus menghantar mesej kepada saya. Kami membuka saluran kami untuknya."

- Bernama

Lihat Komen