malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Susulan saman ditolak, Musa kata akan fail rayuan
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 5:41 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

Tan Sri Musa Aman berkata akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang menolak saman pemulanya berhubung isu ketua menteri Sabah.

"Saya berpendapat isu ini belum selesai sepenuhnya hari ini. Saya telah mengarahkan peguam membuat rayuan terhadap keputusan ini.

"Saya ingin menekankan isu ini bukan soal sama ada saya menjadi ketua menteri atau tidak. Ini soal yang sangat penting iaitu keluhuran dan tafsiran yang sebenar terhadap Perlembagaan Negeri serta kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk melantik dan memecat ketua menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyatakan kekecewaannya dengan keputusan itu, bekas ketua menteri Sabah itu mengucapkan penghargaan kepada keluarga, peguam dan penyokong setianya "yang sentiasa menjunjung dan menghormati perlembagaan negeri".

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menolak saman pemulanya terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Saman itu antara lain bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri yang sah.

Musa juga memohon pengisytiharan bahawa tiada penarikan balik atau pembatalan dalam pelantikannya, serta pengisytiharan bahawa Juhar bertindak tidak mengikut perlembagaan dalam melantik Shafie.

Menurut laman The Borneo Post, Hakim Datuk Yew Jen Kie turut mengarahkan Musa membayar RM15,000 kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie sebagai kos.

Lihat Komen