Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), PKR, Datuk Rashid Din tampil menjelaskan bahawa lawatan presiden parti itu, atuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ke Julau, Sibu, Sarawak semalam dilakukan atas kapasitinya sebagai timbalan perdana menteri.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian memandangkan Wan Azizah tidak membawa penyokong parti dan juga tidak bertanding dalam Pemilihan PKR 2018.
“Semua orang pertikai kenapa dia (Dr Wan Azizah) datang sedangkan dia bukan berkempen malah tidak bertanding pun dalam pemilihan... jadi apa isunya?
“Beliau pergi sebagai timbalan perdana menteri, jawatan presiden parti pun ibarat tinggal 10 peratus sahaja sebab tinggal beberapa hari lagi (pemilihan akhir).
“Ada dia bawa penyokong PKR? Tiada? Okay itu sahaja jawapan saya,” katanya yang dipetik oleh akhbar NSTP hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya mempertikaikan lawatan berkenaan dan menyifatkannya ebagai tidak wajar.
Beliau tutut mempersoalkan penggunaan kedudukan rasmi dan aset kerajaan dan pengumuman Dr Wan Azizah tentang peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.
Menurut Latheefa pengumuman dibuat dengan kehadiran Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang juga calon pemilihan di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti.
Latheefa, yang difahamkan merupakan penyokong timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali, berkata Sng sebelum ini "secara terbuka mengisytiharkan" kesetiaan kepada pesaing Azmin, Rafizi Ramli.
Anggota Parlimen Julau itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sekumpulan pimpinan PKR Sarawak membuat laporan berhubung keanggotaan dalam PKR cabang Julau yang menyaksikan tambahan ahli kepada lebih 13,000.
Latheefa menggesa Wan Azizah menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan untuk melawat cabang yang dianggap "kontroversi" itu semasa pemilihan berlangsung.
Cabang Julau menjadi perhatian selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada SPRM.
Pemilihan di Sarawak yang akan berlangsung Sabtu ini membabitkan 29 cabang dengan tumpuan akan diberikan di Cabang Julau dan Lubok Antu.