malaysiakini logo
story-image
ADS

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR mengarahkan proses pengundian bagi tiga cabang di Sabah diadakan semula, sekali gus persaingan untuk jawatan timbalan presiden berlanjutan lebih lama.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Pengerusi JPP Datuk Rashid Din mengesahkan pemilihan yang akan diadakan semula itu membabitkan Tawau, Keningau dan Pensiangan.

Katanya proses pengundian itu akan diadakan pada 11 Nov ini.

Keputusan JPP itu dijangka akan disahkan oleh Biro Politik PKR yang akan bermesyuarat malam ini dan dijangka dipengerusikan sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Asalnya pemilihan bagi cabang Keningau dan Tawau dijalankan pada 3 Nov, manakala Pensiangan diadakan sehari kemudian.

Walaupun JPP belum mengumumkan keputusan di tiga cabang tersebut, kiraan tidak rasmi menunjukkan penyandang jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali, menang di Tawau.

Pencabar Azmin, Rafizi Ramli, bagaimanapun mengungguli undian di Pensiangan dan Keningau.

Ahad jadi pusingan terakhir

Secara keseluruhan kiraan dilakukan Malaysiakini melalui keputusan tidak rasmi menunjukkan Azmin berada di depan Rafizi dengan kelebihan 3,202 undi.

Tanpa mengambil kira keputusan undian tiga cabang tersebut - berdasarkan data tidak rasmi Malaysiakini - Azmin masih mendahului Rafizi dengan perbezaan kira-kira 3,000 undi.

Pemilihan di Keningau dicemari kekecohan manakala undian di Pensiangan dilanjutkan ke jam 8 malam berbanding 5 petang seperti yang dijadualkan.

Rafizi memperoleh kemenangan besar di Pensiangan.

Semalam bekas anggota parlimen Pandan dan kini masih menjadi naib presiden PKR itu mendakwa, dia sepatutnya mendahului pengundian dengan 3,000 undi jika tiada sabotaj di Sabah.

Hujung minggu ini akan menjadi pusingan terakhir proses pemilihan PKR sejak ia berlangsung secara berperingkat pada 22 Okt lalu.

PKR Sarawak akan mengundi pada 10 Nov manakala pemilihan semula sesetengah cabang di Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah akan diadakan pada 11 Nov.

Fokus utama bagi pengundian hujung minggu ini akan terarah ke Julai di Sarawak, serta Pensiangan dan Tawau kerana ia membabitkan jumlah keanggotaan yang besar.


 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen